GovernansMalaysia

PARLIMEN: Pindaan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 Lulus Dengan Sokongan Majoriti

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 bagi membolehkan kerajaan mengembalikan dan menguatkuasakan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.

Pindaan RUU itu diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen menerusi undian belah bahagian, di mana 148 undi menyokong, 57 tidak mengundi dan 17 tidak hadir.

Sebelum itu, RUU berkenaan dibahaskan oleh 18 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 sebelum ini dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada minggu lalu, diikuti pembentangan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025.

Fasal itu menyatakan seseorang yang dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat atau Timbalan Yang Dipertua tidak hilang kelayakan memegang jawatan oleh sebab keahliannya dalam Majlis Perkhidmatan Parlimen yang ditubuhkan di bawah undang-undang Persekutuan, dengan syarat ahli yang dipilih berkenaan tidak menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya.

Dengan kelulusan itu, maka RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 yang kini di peringkat bacaan kali pertama, boleh diteruskan untuk bacaan kali kedua seterusnya dibahaskan oleh Ahli Parlimen.

Perbahasan dijadual berlangsung hari ini dan bersambung esok untuk kelulusan.

RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 pula antara lain bertujuan menubuhkan Perkhidmatan Parlimen yang menjadi suatu perkhidmatan berasingan daripada perkhidmatan awam.

Terdahulu, Azalina ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan, menegaskan pindaan RUU itu bukan sekadar perubahan teknikal kepada Perlembagaan.

Sebaliknya, beliau berkata ia adalah usaha memperkukuh institusi Parlimen supaya mampu bertahan dan berwibawa, selaras prinsip demokrasi.

“Pindaan ini supaya dalam syarat utama agar individu dinamakan Yang Dipertua Dewan Negara dan Timbalannya; Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Timbalannya serta Setiausaha Dewan Rakyat dan Setiausaha Dewan Negara boleh duduk dalam Majlis Perkhidmatan Parlimen.

“Tiada isu berkenaan komposisi atau niat Eksekutif untuk mengawal (institusi Parlimen),” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close