Pilihan EditorTwo Cents

BACALAH PEMBACA: Biarlah Mahkamah Tentukan, Jangan Jadi Hakim Di Media Sosial

Baharu-baharu ini, bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS),  Teo Chee Kong dibebas tanpa dilepaskan (DNAA) bagi 146 pertuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah.

Tertuduh turut dikenakan bayaran kompaun RM30 juta oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sejurus berita mengenai keputusan itu dilaporkan media, maka ramailah yang menyuarakan pelbagai pandangan.

Ada yang puji, ada yang keji dan ada yang tidak berpuas hati bagaimana tertuduh hanya dikenakan kompaun semata-mata tetapi tiada hukuman penjara dan sebagainya.

Mereka yang tidak faham fakta kes sebenar apa lagi terus memberi komen-komen negatif di media sosial menyalahkan sistem undang-undang yang berat sebelah termasuk membandingkan kes tertuduh ini dengan kes mencuri barang di pasaraya yang dikenakan hukuman lebih berat berbanding ‘mencuri’ duit berjuta-juta.

Sebenarnya, keputusan untuk mengenakan kompaun dalam sesuatu kesalahan yang dilakukan di bawah Seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) adalah dibenarkan dengan keizinan pihak Pendakwa Raya.

Tindakan kompaun adalah satu bentuk penalti atau hukuman atas kesalahan antara pihak tertuduh dengan pihak berkaitan tanpa melibatkan sabitan daripada mahkamah.

Kesalahan di bawah pengubahan wang haram tidak sama dengan kesalahan di bawah Kanun Keseksaaan yang membabitkan kesalahan seperti mencuri, merompak dan pecah amanah.

Memetik kenyataan media oleh Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Faridz Gohim Abdullah berkata, tindakan kompaun itu merupakan satu bentuk pemulangan aset di bawah akta berkenaan.

Ia juga salah satu strategi pihak pendakwaan dalam mengukuhkan keterangan dalam kes membabitkan JANS.

“Pembayaran kompaun dengan jumlah yang besar ini merupakan satu kejayaan dalam bentuk pemulangan aset oleh pihak pendakwaan.

“Tindakan kompaun ini bagaimanapun tidak menghentikan atau menjejaskan pertuduhan terhadap tiga lagi orang kena tuduh (OKT) lain yang masih dalam proses perbicaraan,” katanya lagi.

Nah…sudah terang lagi bersuluh.

Jawapan daripada Faridz ini sudah cukup jelas menerangkan mengapa tindakan kompaun dilakukan terhadap Teo Chee Kong kerana tertuduh ‘belum bebas sepenuhnya’ tetapi masih lagi terikat iaitu dibebas tanpa dilepaskan (DNAA).

Lagipun jumlah kompaunnya RM30 juta, cukup banyak untuk dipulangkan kepada rakyat Sabah yang boleh digunakan untuk tujuan pembangunan lain.

Tertuduh pada 13 Disember 2017, mengaku tidak bersalah terhadap 146 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM32 juta yang didakwa diterima secara rasuah melalui projek-projek di JANS sejak 2010 hingga 2016.

Kompaun kesalahan terhadap tertuduh bukan satu perkara baharu atau asing di negara ini kerana sudah terdapat beberapa kes yang mengambil tindakan sebegini.

Merujuk kepada kes Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan misalnya, pada 29 September tahun lalu, beliau dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada tuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan selepas Ahmad bersetuju kesnya dikompaun RM1.1 juta.

Apa yang penting, kita harus hormati keputusan mahkamah ini khususnya kes skandal air Sabah ini, kerana setiap keputusan yang dibuat berlandaskan kepada beberapa faktor yang sudah diambil kira.

SPRM dan mahkamah telah melaksanakan tugas berdasarkan undang-undang sedia ada dan hukuman telah dijatuhkan berdasarkan fakta-fakta kes.

Kita sebagai rakyat Malaysia, harus akur dan berlapang dada menerima sebarang keputusan mahkamah yang diadili oleh hakim-hakim yang bijaksana ini.

 

Muhaimin Karim

(Penganalisis isu semasa)

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button
Close