Kedai RuncitPilihan Editor

Bahan Mentah Lebih Murah Untuk Peniaga Menu Rahmah, PM Umum Berita Gembira Selasa

Golongan peniaga yang terbabit dengan penyediaan Menu Rahmah bakal menikmati kemudahan pembelian barangan mentah pada harga yang lebih rendah.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, hari ini, namun perincian berita gembira yang dijangka dinikmati 1,700 peniaga Menu Rahmah itu akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa depan.

“KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) sedang melakukan pelbagai libat urus dalam memastikan hasrat berkenaan tercapai dan yakin ia akan dapat diselesaikan segera.

“Libat urus ini akan terus diadakan supaya pasar raya besar boleh juga memberikan tawaran Rahmah kepada semua peniaga Menu Rahmah,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan sesi tinjauan mesra sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Aidilfitri 2023 di Pasaraya Lotus Selayang, di sini hari ini.

“Apabila mereka menunjukkan kad yang KPDN akan pastikan kesahihannya, mereka boleh pergi ke pasar raya yang mengambil bahagian dalam inisiatif berkenaan.

“Di sana, mereka akan dapat beli dengan harga lebih rendah daripada harga biasa,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan cadangan, peniaga akan mendapat harga lebih rendah bagi barangan asas seperti beras, ayam, ikan, sayur dan bahan lain seperti bawang, halia serta cili .

“Perincian mengenai barangan dan mekanisme inisiatif berkenaan masih lagi dalam perbincangan dan akan diumumkan Perdana Menteri nanti.

“Insya Allah ini berita gembira dalam pakej berita gembira yang Perdana Menteri akan umumkan Selasa ini.

“Kami adakan sedikit libat urus dengan beberapa industri, yang dah setuju pun ada.

“Jika ada kesepakatan, Perdana Menteri akan umum berita gembira kepada peniaga Menu Rahmah Selasa ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin berkata, KPDN memberi jaminan bahawa bekalan barangan asas adalah mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri ini.

“Sehingga pagi tadi pihak KPDN masih lagi melakukan sesi libat urus dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) terutamanya membabitkan Jabatan Perikanan, Jabatan Veterinar dan para pembekal.

“Jika ada apa-apa perubahan pastinya KPDN akan memberi notis awal mengenai mana-mana barangan yang tidak mencukupi di pasaran.

“Setakat ini tidak perlu bimbang kerana berdasarkan maklumat KPDN dan MAFS bahawa bekalan adalah mencukupi menjelang Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close