Pilihan EditorTwo Cents

Kos Hidup Keluarga Dua Anak Di Lembah Klang RM6,890 Sebulan – Satu Kajian

Kos untuk hidup di bandar besar semakin meningkat seiring dengan lonjakan peningkatan harga barang dan purata gaji dan upah berbanding beberapa tahun sebelumnya.

Berdasarkan panduan Belanjawanku 2022/2023 yang diterbitkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya, kos hidup untuk golongan bujang di Lembah Klang meningkat sebanyak RM60 kepada RM1,930 berbanding RM1,870 dalam Belanjawanku 2019.

Perkara sama turut berlaku bagi pasangan suami isteri tanpa anak yang memerlukan sebanyak RM4,630 untuk hidup selesa berbanding RM4,420 sebelum ini.

Bagi pasangan suami isteri dengan dua anak pula, anggaran kos yang diperlukan untuk hidup di Lembah Klang adalah sekitar RM6,890 sebulan berbanding RM6,620 pada 2019.

Berdasarkan perbandingan mengikut 12 bandar utama, Lembah Klang merekodkan kos hidup yang paling tinggi diikuti oleh Georgetown, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Belanjawanku 2022/2023 juga memberikan satu indikator baharu kos hidup bagi setiap peralihan kategori isi rumah di 12 bandar utama Malaysia.

Bagi golongan bujang yang baru memulakan kerjaya dan menggunakan pengangkutan awam dengan kos hidup RM1,930, mereka memerlukan peningkatan kewangan sebanyak 35 peratus bagi memiliki kereta dengan kos hidup sebanyak RM2,600.

Begitu juga bagi pasangan baru berkahwin tanpa anak, mereka memerlukan kos hidup sebanyak RM4,630 namun jika merancang untuk memiliki anak (seorang anak), mereka memerlukan peningkatan kewangan sebanyak 29 peratus kepada RM5,980 dan tambahan sebanyak 15 peratus lagi kepada RM6,890 jika memiliki dua anak.

Pengarah SWRC, Profesor Datuk Dr Norma Mansor, berkata peningkatan kos hidup setiap kategori isi rumah itu menunjukkan peningkatan kewangan yang perlu ada untuk memastikan kehidupan selesa serta pada masa sama mempunyai simpanan.

Beliau berkata, Belanjawanku 2022/2023 juga adalah persediaan awal kepada rakyat dalam perancangan kewangan mereka.

Katanya, tahap celik kewangan ketika ini masih rendah dan peningkatan kos sara hidup telah menyebabkan rakyat tidak mempunyai simpanan yang mencukupi atau rendah, hutang yang tinggi dan kebankrapan awal.

“Di sinilah Belanjawanku 2022/2023 memainkan peranan sebagai panduan untuk perancangan kewangan dan pengurusan hutang individu, di samping mengesyorkan jumlah simpanan untuk kegunaan masa depan dan dalam situasi yang belum pernah berlaku.

“Pembuat dasar juga boleh menggunakan Belanjawanku sebagai penunjuk atau penanda aras dalam menangani isu kos sara hidup, kuasa beli dan pembasmian kemiskinan bagi memastikan keterangkuman sosial dalam kalangan rakyat,” katanya.

Panduan Belanjawanku telah diguna pakai oleh pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP dalam memberikan bimbingan dan nasihat kewangan kepada ahli, seterusnya membentuk asas kesejahteraan kewangan yang kukuh dan kualiti hidup yang lebih baik dalam jangka panjang.

Projek Belanjawanku adalah sebahagian daripada program celik kewangan KWSP, manakala penyelidikan terperinci dilakukan oleh pasukan penyelidik di SWRC.

Penyelidikan itu membabitkan soal selidik dan perbincangan kumpulan fokus yang terdiri daripada penyelidik daripada universiti tempatan, wakil daripada KWSP, Agensi Kaunseling dan Pengurusan dan Pengurusan Kredit (AKPK), Unit Perancang Ekonomi, Majlis Perundingan Gaji Negara, agensi bukan kerajaan, Bank Negara Malaysia, dan pakar industri.

Buku Belanjawanku boleh dimuat turun secara percuma di laman web KWSP di www.kwsp.gov.my – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close