GovernansPilihan Editor

Misi MITI Ke China Jana Potensi Eksport RM3.2 Bilion – Menteri MITI

Misi perdagangan dan pelaburan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ke China berjaya menjana potensi nilai eksport RM3.2 bilion, meningkat berbanding RM2.44 bilion yang diumumkan baru-baru ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata nilai potensi eksport itu disumbangkan oleh beberapa sektor ekonomi negara seperti sektor perladangan, kelapa sawit serta elektrik dan elektronik (E&E).

“Ini adalah satu pencapaian yang agak memberangsangkan untuk peniaga-peniaga kita khususnya syarikat-syarikat Malaysia yang ingin mengeksport ke luar negara, terutamanya negara China,” katanya pada Program Ihya Ramadan anjuran Yayasan TZA & Skuad Kasih MITI, semalam.

Beliau berkata, peningkatan eksport berlaku apabila misi berkenaan diteruskan ke Hong Kong, yang mana Press Metal Aluminium Holdings Bhd mendapat komitmen daripada syarikat negara itu untuk membeli hasil aluminium mereka.

“Selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pulang dari lawatan rasminya ke China, kita teruskan misi ke Hong Kong dan memperoleh komitmen tambahan dari China dan Hong Kong,” katanya.

Lawatan rasmi Perdana Menteri ke China dari 29 Mac hingga 1 April 2023 juga menyaksikan Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi iaitu bernilai RM170 bilion.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata kerajaaan melalui MITI dan agensi-agensi berkaitan akan melakukan pemantauan dalam merealisasikan potensi pelaburan dan perdagangan yang diterima dari China.

“Kita juga melaporkan kepada Kabinet mengenai pelaburan-pelaburan yang telah dikenal pasti dan setiap suku tahun, kita membuat pengumuman mengenai pelaburan yang telah direalisasikan dan diberi komitmen,” jelas beliau.

China adalah rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009. Pada 2022 nilai perdagangan antara Malaysia dan China mencecah 17.1 peratus daripada jumlah perdagangan global Malaysia yang bernilai RM2.8 trilion.

Manakala, Hong Kong kekal sebagai rakan dagang penting Malaysia, dengan perdagangan melepasi nilai RM100 bilion buat kali pertama tahun lepas iaitu mencecah RM113.2 bilion, terdiri daripada eksport yang bernilai RM95.6 bilion dan import bernilai RM17.6 bilion. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close