MalaysiaPilihan Editor

Belanjawan 2024 Tumpu Usaha Imbangi Ekonomi, Hutang

Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada bulan depan dijangka menyaksikan usaha kerajaan melakukan pengimbangan dalam meneruskan sokongan ekonomi sambil memastikan kemampanan hutang, kata RHB Research.

Dalam nota penyelidikan hari ini, cabang penyelidikan RHB Banking Group itu berkata belanjawan itu juga mungkin mengekalkan ciri pengembangan sederhana dengan sokongan besar ke arah sektor-sektor keutamaan terpilih dan meneruskan usaha meringankan beban kewangan kumpulan sasar.

“Selain itu, kami menjangkakan beberapa langkah konsolidasi fiskal akan turut diumumkan, termasuk peningkatan hasil serta rasionalisasi peruntukan perbelanjaan.

“Sumber fiskal itu sebaliknya akan disalurkan dalam pendekatan lebih bersasar dan diperuntukkan dalam bidang-bidang yang menjadi keutamaan,” katanya.

“Antara cukai baharu yang dijadual dilaksanakan menjelang 2024 adalah Cukai Keuntungan Modal (CGT),” katanya.

Dari segi perbelanjaan, RHB Research mengunjurkan peruntukan bagi perbelanjaan pembangunan (DE) adalah sekitar RM95 bilion hingga RM100 bilion yang seiring dengan semakan semula paras siling perbelanjaan bagi projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Selain itu, program subsidi bersasar dijangka dilaksanakan menjelang awal tahun depan, katanya.

“Antara tumpuan utama adalah kepastian dan tempoh pelaksanaan rasionalisasi subsidi.

“Berdasarkan perkembangan semasa, pelarasan subsidi diesel berkemungkinan dapat dilaksanakan manakala pelarasan subsidi petrol sebaliknya dijangka mengambil masa lebih lama kerana membabitkan asas atau bilangan lebih besar (termasuk isi rumah),” katanya.

RHB Research juga menjangkakan kenaikan kecil gaji penjawat awam Persekutuan turut diumumkan dalam belanjawan tahun depan dengan kajian semula skim gaji golongan itu yang lebih menyeluruh dijangka selesai dalam masa enam bulan akan datang.

“Butiran terperinci mengenai sistem gaji progresif juga mungkin diumumkan,” katanya.

Dalam pada itu, RHB Research menyasarkan bantuan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan turut diteruskan selain sektor-sektor keutamaan seperti tenaga boleh baharu (TBB), teknologi dan digital, elektrikal dan elektronik, pertanian serta industri nadir bumi.

“Kadar cukai keutamaan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana, kemudahan pinjaman mikro mungkin diteruskan dengan lebih banyak sokongan untuk syarikat pemula niaga dan usahawan muda,” katanya.

RHB Research juga berpendapat bahawa Belanjawan 2024 akan merangkumi beberapa inisiatif dan pelan jangka pendek, selaras dengan sasaran dan matlamat di bawah Kajian Separuh Penggal RMK12. – -BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close