Pilihan EditorTwo Cents

KAKI BEDAL: Kalau Nak Pecat, Biarlah Kena Pada Tempatnya

Oleh Kaki Bedal

Selama lebih enam dekad, satu gabungan politik berlogo warna biru memerintah negara sebelum tumbang pada 2018 dek fitnah dan propaganda licik musuh.

Kalau ikut P. Ramlee, seperti dalam filem Ali Baba Bujang Lapok, dalam adegan menconteng sasaran samun, bila silap buat pilihan, apa yang penyerang dapat kalau bukan ‘taik.’

Selepas PRU 2018, isu kepentingan rakyat yang selalunya diperjuangkan parti bekas pemerintah dan selalu dikritik parti pemerintah baru, tidak juga hilang. Adakalanya boleh kata lebih teruk lagi.

Baik, itu satu hal. Bak kata orang, yang lepas biarlah berlalu. Cuma, tidak dapat tidak, sepatutnya kita boleh tanya juga – rakyat dapat apa selepas 2018? Ternyata, pentadbiran selepas 2018, ‘hampeh.’

Terbaru, kerajaan sekarang dikatakan sedang mencongak untuk memperkenal semula GST.

Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan, tak mungkin orang tak sedar bahawa projek yang sepatutnya memberi kemudahan dan kebaikan kepada rakyat zaman pemerintah lalu, kekal dan pada masa tertentu, dipuji pula.

Tidakkah itu memberi petanda kepada  parti terbesar Melayu negara ini bahawa dasar pemimpinnya, khususnya bekas PM yang kini di penjara, sebenarnya ternyata baik?

Malang sekali, parti berkenaan masih belum sedar daripada mimpi dan kekalahan 2018.

Kita tidak tujukan pandangan ini kepada ahli-ahli biasa parti tetapi kepada kepemimpinan yang ada. Tidak kiralah mereka daripada puak mana sekalipun, kecenderungan untuk mengutamakan kepentingan peribadi nampaknya masih tebal dalam diri masing-masing.

Masih ada yang senada dengan pendirian George W Bush – ‘you are either with me or with the enemy’ atau ‘Sama ada kamu menyokong saya atau bersama dengan musuh saya.’

Kita boleh faham mengapa seseorang pemimpin beranggapan bahawa semua di bawahnya mesti bahkan wajib menyokongnya dalam apa jua keadaan. Tetapi, takkanlah mesti juga sokong sedangkan keputusan atau langkah yang diambil hanya memudaratkan parti?

Isham Jalil bukanlah nama yang menggerunkan sesiapa dalam parti itu, terutama di kalangan pucuk pimpinan tetapi akar umbi bersama dengan beliau yang tidak segan silu memberi pandangan isu semasa secara terus terang.

Cuba tanya siapa di kalangan orang kanan parti yang aktif memberi hujah, pandangan dan penjelasan bagi pihak parti sejak 2018?

Malah, pandangan yang diberikan disuarakan secara baik, mengambil kira kebaikan dan keburukan atau keseluruhan aspek sesuatu isu. Beliau hanya meminta supaya pandangan akar umbi dihormati dan menjadi kata putus dalam setiap langkah parti.

Jika kepemimpinan parti masih menganggap orang seperti Isham Jalil wajar dipecat atas kegigihannya bersuara mempertahankan kepentingan parti, tidak perlu dihairankan jika parti terbesar Melayu akan terus terumbang ambing dalam arus politik negara.

Silap-silap bungkus terus.

  • Penulis berkecimpung  dalam industri media lebih tiga dekad lalu

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close