Harga Bitcoin melonjak melepasi paras AS\$100,000 (RM431,500) buat kali pertama sejak Februari, didorong sentimen positif pelabur terhadap aset berisiko susulan pengumuman perjanjian perdagangan antara Britain dan Amerika Syarikat.
Penganalisis di platform kripto Coinhouse, Stephane Ifrah, berkata kenaikan mendadak itu disumbangkan oleh pandangan bahawa Amerika Syarikat kini mengambil pendekatan lebih rasional dengan memeterai perjanjian antarabangsa.
“Apabila Amerika Syarikat mula dilihat lebih munasabah dan mula mencapai persetujuan dengan negara lain, pasaran mata wang kripto kembali pulih,” katanya.
Kali terakhir Bitcoin menembusi paras psikologi AS$100,000 (RM431,500) adalah pada Disember lalu, sebelum mencatat paras tertinggi AS$109,241.11 (RM471,382) pada 20 Januari, hanya beberapa jam sebelum Presiden AS, Donald Trump, mengangkat sumpah bagi penggal kedua di White House.
Ketika kempen pilihan rayanya, pemimpin Republikan itu menyatakan komitmen untuk menyokong mata wang kripto, sekaligus meningkatkan sentimen pelabur terhadap sektor tersebut.
Nilai $LIBRA menjunam selepas sekumpulan pelabur awal menjual pegangan mereka untuk meraih keuntungan besar, mengakibatkan kerugian besar kepada kebanyakan pemilik lain. Kejatuhan itu turut menjejaskan nilai mata wang digital utama lain termasuk Bitcoin.
Pihak pendakwaan Argentina kini dilaporkan sedang menyiasat sama ada Milei terlibat dalam penipuan, penglibatan jenayah atau pelanggaran tugas apabila beliau mempromosikan $LIBRA di media sosial pada Februari lalu.
Pada bulan sama, bursa mata wang kripto berpangkalan di Dubai, Bybit, melaporkan kecurian aset digital berjumlah AS$1.5 bilion (RM6.47 bilion) dalam kejadian yang dianggap sebagai rompakan kripto terbesar dalam sejarah industri.
Nilai Bitcoin yang mencecah paras AS$75,000 (RM323,625) pada awal April kini kembali meningkat, sejajar dengan prestasi pasaran saham global.
“Bitcoin menunjukkan kekuatan sejajar dengan pasaran ekuiti,” kata penganalisis ByteTree, Charlie Morris. “Perjanjian perdagangan UK adalah satu sebab kukuh untuk terus optimis kerana lebih banyak perjanjian dijangka akan menyusul.”
Akhir April lalu, kerajaan United Kingdom turut mengemukakan draf undang-undang bagi mengawal selia mata wang digital seperti Bitcoin dan Ethereum, selepas Kesatuan Eropah memperkenalkan kerangka peraturan mereka sendiri. – AFP