Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Datuk Shahul Hameed Dawood dijangka akan membuat kenyataan malam ini mengenai kedudukannya dalam agensi itu.
Difahamkan, pengerusi dan ahli lembaga pengarah HRD Corp sudah dimaklumkan mengenainya.
Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan program latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai kegiatan pelaburan.
PAC juga mahu Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) membentangkan dapatan audit bebas terhadap HRD Corp kepada pihaknya September depan.
Malah, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 dilaporkan berkata, KESUMA disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan susulan kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.
Susulan itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim semalam mengarahkan KSU KESUMA, Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Eksekutif HRD Corp supaya membuat laporan kepada SPRM.
Ahmad Khusairi berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 dan 23 Akta SPRM 2009. – BH ONLINE