Dasar fiskal kerajaan kekal komited menyokong objektif pembangunan negara serta memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Beliau menegaskan kerajaan berpegang kepada prinsip pengurusan fiskal yang bertanggungjawab sambil memastikan sokongan fiskal mencukupi untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi.
“Kerajaan akan mengimbangi keperluan itu dengan memastikan perbelanjaan mencukupi bagi memenuhi tuntutan pembangunan rakyat,” katanya baru-baru ini.
Johan menjelaskan, dalam meneruskan agenda penyatuan fiskal, kerajaan perlu berhati-hati agar tidak mengurangkan defisit terlalu cepat kerana masih perlu menampung keperluan rakyat di bawah Belanjawan 2026 — yang juga belanjawan pertama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Pengurusan fiskal yang bertanggungjawab perlu seimbang — memberi keyakinan kepada pelabur, tetapi pada masa sama memastikan perbelanjaan mencukupi untuk pembangunan rakyat,” katanya.
Sebagai contoh, katanya, kerajaan memperuntukkan RM66 bilion bagi sektor pendidikan tahun ini, manakala bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM15 bilion, lebih tinggi berbanding 2022.
Beliau berkata, pengukuhan ringgit, peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Daya Saing Dunia Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) serta jumlah pelaburan diluluskan yang lebih tinggi menunjukkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia semakin kukuh.
“Adalah penting untuk kita terus memupuk keyakinan terhadap pengurusan fiskal yang bertanggungjawab. Akhirnya, yang paling utama ialah manfaatnya dirasai rakyat, dan ini dapat dilihat melalui kadar pengangguran yang semakin menurun,” katanya.
Mengenai prospek ekonomi, Johan yakin kerajaan mampu mencapai pertumbuhan sekurang-kurangnya empat peratus tahun depan meskipun berdepan prospek global yang sederhana.
Beliau berkata, kerajaan mengekalkan dasar fiskal yang mengembang dengan Belanjawan 2026 berjumlah RM470 bilion, meningkat daripada RM452 bilion dalam belanjawan sebelumnya.
“Terdapat pertumbuhan apabila mengambil kira perbelanjaan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC). Walaupun ketidaktentuan global masih wujud, ekonomi negara menunjukkan daya tahan kukuh dengan pertumbuhan 4.4 peratus pada separuh pertama 2025,” katanya.
Beliau turut merujuk kepada unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menganggarkan ekonomi negara berkembang 5.2 peratus pada suku ketiga 2025, mencerminkan momentum pertumbuhan yang berterusan. – BERNAMA




