GovernansPilihan Editor

Pasaran Karbon Dijangka Meningkat Menjelang 2050 – Johari Ghani

Pasaran karbon dijangka meningkat dengan dianggarkan mencecah AS$104 (kira-kira RM439) setiap tan menjelang 2050.

Menteri Perladangan dan Komoditi yang menjalankan tugas dan fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata bekalan kredit karbon juga dijangka meningkat dengan ketara antara 20 hingga 35 kali ganda menjelang tempoh sama.

Beliau berkata, ini menggambarkan dunia serius dalam menangani isu iklim namun usaha mesti dipergiatkan mengikut sasaran tepat.

“Bagi memacu tindakan iklim sejajar matlamat Perjanjian Paris (COP21), institusi dunia seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengesyorkan harga karbon dalam julat antara AS$50 sehingga AS$150 setiap tan.

“Bagaimanapun harga purata karbon di dalam pasaran kini hanya berada antara AS$3 sehingga AS$20 setiap tan, jauh lebih rendah daripada tahap yang diperlukan untuk mencapai pengurangan pelepasan yang berkesan.

“Pasaran juga kekal perlahan dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan skala yang kecil dan berdepan cabaran berterusan,” katanya ketika berucap merasmikan Malaysia Carbon Market Forum 2025 di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Bursa Malaysia Bhd, Tan Sri Abdul Farid Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed.

Johari berkata, Malaysia melangkah ke hadapan dengan memulakan dasar terbaik untuk negara susulan peningkatan pasaran karbon.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 mengumumkan cukai karbon akan diperkenalkan dengan tumpuan awal kepada sektor besi, keluli dan tenaga.

Pelaksanaan cukai yang dijadual bermula tahun depan itu mencerminkan komitmen bersungguh-sungguh kerajaan dalam menangani isu perubahan iklim secara mampan dan menyeluruh, sekali gus memperkukuh peralihan negara ke arah ekonomi hijau.

Setakat ini, lebih 40 negara sudah melaksanakan mekanisme cukai karbon dan Malaysia dilihat berada pada landasan sama dengan memperkenalkan dasar seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close