Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Negara dijangka ditangguhkan bagi memberi ruang kepada kerajaan menjalankan sesi libat urus secara menyeluruh bersama pihak industri dan persatuan perniagaan bagi memastikan kefahaman menyeluruh terhadap pelaksanaannya.
Menteri Perladangan dan Komoditi dan Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan semua pihak terbabit benar-benar memahami implikasi dan keperluan akta tersebut sebelum ia digubal dan dilaksanakan.
“Saya mahu menjalankan libat urus secara terus dengan semua entiti perniagaan dan persatuan perniagaan. Mereka mesti faham, kerana apabila kita mempunyai akta ini nanti, kita tidak mahu berlaku seperti kes RUU Pembaharuan Semula Bandar (PBS) di mana kurang perbincangan dan tiba-tiba timbul masalah,” katanya kepada media selepas Persidangan Penyesuaian dan Ketahanan Iklim (A&R) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Mohammad Faiz Azmi.
“Kita mahu berunding dengan setiap persatuan supaya mereka faham mengapa kita perlukan akta ini. Sebab ada elemen lain yang datang bersama akta ini. Contohnya, cukai karbon akan diperkenalkan.
“Semua perkara ini perlu difahami oleh pihak perniagaan kerana pelaksanaannya adalah untuk manfaat ekonomi negara pada masa hadapan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa RUU berkenaan bukan semata-mata bertujuan memperkenalkan peraturan baharu, sebaliknya menjadi strategi jangka panjang untuk memastikan pembangunan negara seiring dengan agenda kelestarian alam sekitar.
Katanya, proses penangguhan itu tidak akan mengambil masa terlalu lama kerana kerajaan komited untuk mempercepatkan pelaksanaannya sebaik sahaja sesi libat urus selesai dijalankan.
“Saya akan cuba selesaikan secepat mungkin, tetapi sudah tentu ia tidak boleh mengambil masa terlalu lama,” katanya.
Dalam masa yang sama, Johari menegaskan bahawa penangguhan pembentangan RUU itu tidak akan menjejaskan komitmen Malaysia terhadap nationally determined contributions (NDC) di bawah Perjanjian Paris.
“NDC akan terus menyumbang, tetapi kerja-kerja lain masih boleh diteruskan,” katanya.
Beliau berkata, usaha pengurangan pelepasan gas rumah hijau di Malaysia kekal berada di landasan yang betul dan menunjukkan kemajuan memberangsangkan.
“Buat masa ini, walaupun komitmen adalah untuk mengurangkan 45 peratus pelepasan gas rumah hijau, kita telah menunjukkan peningkatan. Setakat ini, menjelang 2030, sasaran kita ialah 45 peratus, dan sekarang kita sudah mencapai 37.1 peratus,” katanya.
Dalam ucaptamanya, Johari berkata, kerajaan menegaskan strategi adaptasi iklim perlu bersifat realistik dan berasaskan keperluan sebenar, di mana pembangunan dasar yang praktikal menjadi keutamaan serta boleh dilaksanakan dalam konteks negara.
“Salah satu cabaran utama ialah memastikan pembiayaan yang mencukupi. Projek mitigasi seperti tenaga boleh baharu sering menarik pelabur swasta, namun projek adaptasi seperti benteng banjir kurang mendapat sambutan kerana tidak menjana pulangan ekonomi secara langsung,” katanya
Beliau menjelaskan, Malaysia perlu mewujudkan ekosistem yang menggalakkan pelaburan swasta dalam daya tahan iklim sama ada melalui perkongsian awam-swasta, bon hijau atau insentif bagi syarikat yang membina kapasiti adaptif.
“Pasaran modal boleh menjadi pemangkin penting dalam usaha ini. Justeru, saya mengalu-alukan inisiatif SC dalam mengintegrasikan penyesuaian iklim ke dalam landskap pelaburan,” katanya. – BH ONLINE




