Pilihan EditorTwo Cents

NIRAF: STARBUCKS, Kenapa Begitu Popular ?

Oleh Nur Intan Rafeena Ahmad Fauzi

 

Chic, homy dan professional !

Dari Latte seperti Asian Dolce, Espresso seperti Caramel Macchiato, sehingga variasi lagi Brewed Coffee, Blended Juice dan Frappuccino, setiap satu minuman keluaran Starbucks ini mempunyai peminatnya tersendiri.

Jenama ini tidak perlu diperkenalkan lagi kepada rakyat Malaysia kerana ia merupakan tempat yang sinonim untuk rakyat Malaysia lepak terutama pada golongan yang mampu dan berada di kawasan “urban”.

 

 

Starbucks merupakan di antara francais yang paling berjaya di dunia berasaskan kopi, setanding dengan McDonald’s yang terkenal dengan variasi burger dan KFC yang sinonim dengan ayam goreng yang crunchy.

Starbucks ini telah diasaskan oleh tiga orang pemuda berasal dari Seattle, Washington pada tahun 1971.

Tiga orang ahli akademik yang gemar minum kopi ini ialah Jerry Baldwin, seorang guru Bahasa Inggeris, Gordon Bowker, guru dalam bidang penulisan dan Zev Siegl yang merupakan guru sejarah.

Pada mulanya, mereka bermula dengan modal perniagaan yang dikumpul sebanyak ASD1,350 seorang dan ASD5,000 lagi hasil pinjaman untuk membuka syarikat Starbucks.

Mereka juga turut bersama-sama memilih logo Starbucks berdasarkan seekor duyung legenda yang mempunyai dua ekor berkembar atau lebih dikenali sebagai “Siren” yang terkenal pada zaman Greek kuno.

Persoalannya, mengapa Starbucks begitu popular?

Apakah wajarannya untuk jenama ini dicontohi sehingga berupaya membuka lebih 32,000 cawangannya di seluruh dunia?

Di Malaysia sahaja dianggarkan lebih 200 cawangan dibuka di seluruh negara termasuk pembukaan konsep terbaharu iaitu Starbucks Reserve yang mempunyai lebih 10 cawangan.

Malahan Starbucks Reserve adalah cawangan yang berbeza dengan menampilkan keunikan tersendiri selain mempunyai ruangan kedai yang lebih besar terbahagi kepada dalaman dan luaran.

Starbucks Reserve TGM mempunyai dua bar kaunter yang menyediakan pelbagai kopi buatan tangan selain rangkaian kopi sedia adanya. Antara keunikan utama di Starbucks Reserve TGM adalah mural ‘Wall Of Gratitude’ yang mempamerkan gambar lebih daripada 200 petugas barisan hadapan.

Sejujurnya, sebab utama jenama ini wajar dicontohi terutamanya bagi orang muda, eksekutif muda atau ahli perniagaan yang ingin mengembangkan sayap dengan lebih luas dalam bidang ini ialah kerana konsepnya yang begitu mudah.

Starbucks menunjukkan prestasi yang luar biasa dalam membuat konsep di mana setiap orang dapat menikmati pengalaman meminum kopi dalam suasana yang menarik.

Senang cerita, Starbucks mempunyai budaya berpusatkan pelanggan. Mereka menggunakan perspektif pelanggan untuk menjalankan perniagaan secara konsisten.

Walaupun menyediakan kehendak dan keperluan pelanggan satu kerja yang mudah, namun tidak mudah untuk mewujudkan persekitaran yang akan memuaskan semua pelanggan.

Starbucks nampaknya berjaya dengan baik dalam menyelesaikan isu ini.

Jenama ini pintar dan inovatif terutamanya tindakan mereka yang telah menjadikan Frappucino cap dagang mereka di samping kekal menghidangkan kopi-kopi lain buatan mereka.

Selain itu ialah kerana lokasi dan suasana Starbucks itu sendiri. Lokasi Starbucks senang untuk dikunjungi orang.

Tidak kira sama ada perjumpaan perniagaan, rakan bertemu rakan, atau kawasan di mana anda inginkan sedikit ketenangan untuk belajar, semuanya telah diliputi.

Anda boleh menemui dua lokasi Starbucks di kawasan yang sama. Suasana yang dibawa kedai Starbucks itu sendiri juga mendatangkan feel tenang dan santai kepada para pelanggannya dan membuatkan pelanggan rasa lebih selesa.

Tambahan lagi, sedarkah anda bahawa, ketika anda berjalan ke setiap kedai Starbucks, ia masih mempunyai kemampuan untuk membuat anda melihat-lihat skema warna, kerusi, dan meja mereka walaupun dalamannya secara umumnya serupa di seluruh dunia.

Namun, mereka masih dapat menjadikan setiap kedai kelihatan sangat berbeza dan tersendiri.

Selanjutnya, adakah anda pernah menemui kakitangan Starbucks yang kasar?

Penulis pasti belum. Mereka tangkas, cekap, ramah, bertenaga, dan mereka memanggil nama anda dengan betul, tetapi hanya ada satu masalah, kadang-kala mereka tidak dapat mengejanya dengan sempurna.

Sebagai contohnya, Aini di Starbucks boleh bertukar menjadi Ani, Ainee atau Arni – takpelah (berseloroh).

Namun,apa yang pasti, penulis sendiri benar-benar menikmati setiap cawan Starbucks yang dibeli dan sebabnya bukan hanya semata-mata konsep, lokasi, dan layanan yang diberi, tetapi turut kerana kualitinya.

Harapan penulis ialah semoga satu hari nanti, jenama-jenama kopi tempatan seperti Kopi Hang Tuah, Kopi Tenom, Kopi Segamat, Kopi Kapal Api atau Kopi Kluang  di Malaysia juga boleh membuka franchisenya tersendiri dan menjadi fenomena warga global seumpama Starbucks.

Pastinya penulis tidak sabar menanti jenama-jenama tempatan bersifat multinasional dan bertaraf global ini mengejar langkah membina empayar tersendiri. – BACALAHMALAYSIA.MY

 

  • Penulis ialah seorang realis dalam dunia idealisme.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close