Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berjaya memperoleh sejumlah RM29.6 bilion pelaburan berpotensi dan RM2.8 bilion potensi eksport tahun ini dari Jepun.
“Dengan potensi pelaburan RM23 bilion dan RM2.1 bilion potensi eksport yang diraih sebelum ini daripada misi pertama ke negara berkenaan pada Jun lalu, menjadikan kedua-dua misi ke Jepun memperoleh sejumlah RM29.6 bilion pelaburan berpotensi dan RM2.8 bilion potensi eksport bagi tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dibantu oleh agensi MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), misi berkenaan telah diadakan serentak dengan Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun di mana delegasi Malaysia diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tengku Zafrul juga mengadakan pertemuan bersemuka dengan Miyoshi Oil and Fat Co Ltd, Marubeni Corporation, Nichicon Corporation dan Itochu Corporation.
Beliau berkata, turut penting adalah kebanyakan pelaburan baharu ini daripada sektor yang menjadi sasaran MITI, termasuk tenaga boleh diperbaharui, elektrik dan elektronik, kimia dan ekonomi digital, yang selaras dengan misi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan hasil yang diharapkan.
“Memandangkan kami menarik pelaburan yang akan menyokong misi untuk menerima teknologi dan pendigitalan untuk memacu inovasi, meningkatkan produktiviti dan mencipta peluang baharu untuk pertumbuhan ekonomi serta menyahkarbonkan sektor pembuatan.
“Kami juga berazam untuk memastikan pelaburan ini direalisasikan dengan cepat untuk menghasilkan lebih banyak lagi peluang untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kita dan pekerjaan dengan gaji lebih baik untuk rakyat Malaysia.
“Untuk itu, pelbagai kelulusan pelaburan, di peringkat persekutuan dan negeri, telah dipercepatkan melalui Jawatankuasa Penyelarasan Tindakan Pelaburan dan Perdagangan (ITACC), dan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pelaburan (ICCM),” katanya. – BH ONLINE