Malaysia dan China berpotensi meneroka tiga bidang baharu dalam sektor agri komoditi bagi memperluas kerjasama ekonomi, selain membolehkan kedua-dua negara menghadapi ketidaktentuan ekonomi global serta risiko geopolitik yang kian meningkat dengan lebih berkesan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata antara bidang yang akan menjadi tumpuan adalah inisiatif memanfaatkan konsep ekonomi kitaran dalam industri minyak sawit membabitkan tenaga biojisim dan biogas.

Beliau berkata, bidang kedua adalah membabitkan teknologi baharu dengan Malaysia sentiasa meneroka peluang melaksanakan pertanian berhemah termasuk pertanian pintar dan membuat keputusan berasaskan data, selain meningkatkan mekanisasi dan automasi dalam rantaian bekalan.
Selain itu, katanya, bidang yang boleh diberi tumpuan adalah meningkatkan pelaburan untuk menaik taraf kilang sedia ada membabitkan sekitar 448 kilang minyak sawit.

“Malaysia dijangka terus menjadi rakan dagang penting bagi minyak sawit China disokong pendekatan holistik negara dalam mengawal selia sektor perladangan, kemampuan menyediakan jaminan bekalan, infrastruktur yang terbaik sepanjang rantaian bekalan, serta jaminan kelestarian melalui skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
“Untuk menyokong inisiatif industri negara dan memanfaatkan hubungan sedia ada antara Malaysia dan China, terdapat banyak peluang yang boleh diterokai untuk kepentingan bersama.

Mengulas lanjut, Johari berkata, ekonomi kitaran membabitkan pertukaran tenaga hijau dalam bentuk tenaga biojisim dan biogas boleh direalisasikan memandangkan sebuah kilang dengan kapasiti operasi sekurang-kurangnya 60 tan sejam boleh menjana antara lima hingga tujuh megawat (MW) tenaga.
Justeru, katanya jika sekitar 50 peratus kilang di negara ini dilengkapi dengan kemudahan penangkapan biojisim dan biogas, Malaysia boleh menjana sekitar 1,100 MW tenaga di lebih 200 lokasi di seluruh negara.
“Selain itu, bahan api penerbangan lestari (SAF) adalah satu lagi bidang yang menawarkan pelbagai peluang. SAF diperkenalkan sebagai inisiatif untuk mengurangkan karbon dalam sektor penerbangan.
“Menjelang 2027, kerajaan merancang untuk mewajibkan penggunaan SAF untuk semua pesawat yang memasuki Malaysia, dengan mandat campuran dirancang bermula pada kadar satu peratus,” katanya.
Berhubung pelaburan menaik taraf kilang, katanya pelabur berpotensi boleh bekerjasama dengan pemilik kilang untuk menaik taraf kilang terbabit dengan melengkapkannya dengan teknologi terkini.
“Sebagai contoh, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dapat meningkatkan kecekapan operasi dengan mengurangkan kehilangan minyak dan kebergantungan kepada tenaga kerja,” katanya.
Johari berkata, Sabah dan Sarawak memiliki gabungan 3.1 juta hektar tanah perladangan dengan potensi tinggi untuk pembangunan kilang bahan bakar berasaskan oleokimia.

Justeru, katanya, dua negeri terbabit menawarkan potensi besar kepada pelabur dalam bidang baharu memandangkan teknologi bahan oleokimia belum dimanfaatkan walaupun dua negeri itu mempunyai sumber bahan mentah yang melimpah.
“Pelabur boleh menghasilkan produk yang lebih bernilai tinggi terus dari sumber tempatan, tanpa perlu mengangkut bahan mentah ke kawasan lain.
“Pelaburan di negeri in dilihat dapat mengurangkan kos operasi, memaksimumkan nilai ekonomi hasil daripada sumber tempatan dan meningkatkan daya saing produk di pasaran antarabangsa.
“Kami mengalu-alukan perbincangan lanjut untuk menjelaskan potensi ini dan membantu pelabur merancang pelaburan yang strategik dan berimpak tinggi,” katanya. – BH ONLINE/BACALAHMALAYSIA.MY




