Ekonomi Malaysia diunjurkan mencatatkan pertumbuhan kira-kira 4.5 peratus tahun ini, berbanding anggaran setahun penuh 2023 pada 4.1 peratus.
Ketua Ahli Ekonomi Asia HSBC, Frederic Neumann, berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia sebahagiannya akan dipacu oleh pelbagai aspek seperti jangkaan aliran masuk dana asing yang berterusan, serta kemasukan pelaburan langsung.
Beliau berkata, gangguan yang timbul daripada perkembangan geopolitik seperti krisis Laut Merah pula boleh memberi kesan kepada perdagangan dunia, namun ia bergantung kepada sejauh mana ia akan berlarutan.
Katanya, Malaysia masih boleh menguruskan impak daripada krisis yang bermula sejak akhir bulan lalu itu, seandainya ia berkekalan untuk tempoh beberapa minggu akan datang.
“Saya tidak fikir ia cukup besar untuk mempengaruhi unjuran ekonomi seperti Malaysia memandangkan sebahagian penghantaran boleh dialihkan ke sekitar Afrika.
Yang turut serta, Ketua Strategi Ekuiti Asia Pasifik HSBC, Herald Van Der Linde; Ketua Strategi Kadar Faedah Asia Pasifik, Pin-Ru Tan; Ketua Pusat Perubahan Iklim dan Ketua Penyelidik ESG HSBC, Wai-Shin Chan; dan Ketua Penyelidik Pertukaran Asing Asia HSBC, Joey Chew.
Minggu lalu, pemimpin pemberontak, Abdel-Malek al-Huthi memberi amaran sekiranya pihaknya diserang, pemberontak akan menyerang balik kapal perang dan kepentingan Amerika Syarikat (AS).
Houthi Yaman yang disokong Iran menyerang atau merampas puluhan kapal dengan peluru berpandu serta dron sejak 19 November lalu, dan cuba menimbulkan implikasi antarabangsa ke atas kempen perang Israel.
Laut Merah ialah pintu masuk kapal yang menggunakan Terusan Suez, yang mengendalikan kira-kira 12 peratus perdagangan di seluruh dunia dan penting untuk pergerakan barangan antara Asia dan Eropah.
Sementara itu, Chew pula berkata bahawa ringgit dijangka mencatatkan pemulihan sederhana berbanding dolar AS.
“Jika anda melihat pada kadar faedah Malaysia, 3.0 peratus sebenarnya tidak rendah dari perspektif sejarah, tetapi saya rasa perbezaan berbanding AS adalah kerana kadar faedah AS terlalu tinggi.
“Ia akan membantu (Malaysia kekal kadar faedah) dan dengan jangkaan kadar faedah AS dikurangkan, ia akan meredakan tekanan aliran keluar dana asing dari Malaysia.
“Justeru, kami meningkatkan prospek ringgit, namun pemulihannya agak sederhana,” katanya.
Beliau berkata, pemulihan ringgit yang sederhana disebabkan dua faktor iaitu kebergantungan yang masih kuat ke atas pertumbuhan China yang dilihat kekal agak lembap ketika ini.
“Faktor kedua, seperti diketahui umum bahawa dolar AS kekal berdaya tahan. Ia akan menjejaskan momentum pemulihan ringgit dan beberapa mata wang lain,” katanya.
Mengenai pasaran ekuiti tempatan pula, Van Der Linde berkata, HSBC menjangkakan Bursa Malaysia berada pada paras 1,510 mata tahun ini, meskipun indeks saham tempatan tidak begitu menonjol dibandingkan dengan rantau ini.
“Penilaian adalah purata pertumbuhan kira-kira 12 peratus tahun ini yang sejajar dengan pasaran yang rendah yang mana memiliki daya tarikan.
“Terdapat juga beberapa saham yang mampu berprestasi lebih baik. Ia cenderung kepada syarikat komponen teknologi yang mendapat manfaat daripada rombakan dalam rantaian bekalan,” katanya. – BH ONLINE