Kedai RuncitPilihan Editor

Fatimah MZ Agro Farm Sasar Jadi Pembekal Daging Sejuk Beku Tempatan Halal Utama

Isu kartel daging import haram yang hangat diperkatakan pada masa ini memberi suntikan semangat kepada Fatimah MZ Agro Farm Sdn Bhd untuk menjadi antara pembekal daging sejuk beku tempatan halal utama di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Fatimah MZ Agro Farm, Zainol Abidin Mohamad berkata permintaan terhadap daging sejuk beku pada masa ini sangat tinggi dan pengguna kini sangat peka mengenai status halal daging.

“Jika daging sejuk beku tersebut adalah keluaran tempatan dan melibatkan urus niaga yang ‘berakad,’ saya pasti pengguna akan lebih yakin dengan status halal daging itu dan inilah yang mendorong saya untuk menjalankan perusahaan ini.

“Ladang kami adalah 100 peratus milik Muslim, mempunyai ternakan utama iaitu lembu dan kambing tempatan, selain turut menternak rusa, itik Muscovy, ayam kampung, ayam mutiara, ayam piru serta yang terkini arnab,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di ladangnya di Mukim Temin, dekat sini.

Beliau berkata Fatimah MZ Agro Farm juga merupakan pembekal haiwan ternakan yang menawarkan kadar harga yang sangat kompetitif dan dijamin lebih rendah berbanding harga di ladang lain di kawasan sekitarnya.

“Kami juga bersedia memberi perkhidmatan pada bila-bila masa yang dikehendaki pelanggan. Haiwan dibeli daripada kami boleh disembelih dan diproses sehingga selesai di ladang kami walaupun ditempah dalam jumlah kecil kerana objektif utama kami adalah untuk memudahkan urusan pelanggan.

“Selain itu kami juga menyediakan perkhidmatan kepakaran memasak terutamanya untuk masakan kambing dan rusa, serta boleh melakukan persediaan untuk majlis barbeku,” katanya.

Zainol Abidin berkata kapasiti maksimum bagi ternakan lembu di ladangnya dalam satu masa boleh mencecah sehingga 1,000 ekor, manakala kandang kambingnya pula boleh menampung sehingga 2,000 ekor dan arnab sebanyak 5,000 ekor.

Beliau berkata pihaknya juga sedang dalam usaha untuk menyediakan kawasan ragut di ladang yang mempunyai keluasan keseluruhan lebih 4.04 hektar yang diusahakan sejak Februari tahun lepas.

“Kami juga sangat berharap agar kerajaan dapat membantu menyediakan tempat ragut berikutan kini kami membeli dedak dari luar dan kosnya sangat tinggi. Kalau kerajaan dapat membantu, kos akan menjadi lebih rendah dan kami boleh menjual ternakan pada harga lebih rendah.

“Dari segi infrastruktur kandang dan sistem saliran di ladang, kami berharap agar dibantu supaya dapat ditambah baik kerana kami mementingkan kualiti ternakan. Ternakan kami juga hanya minum air mineral, bukan terus daripada paip biasa,” katanya.

Mengenai sasaran jualan ternakan di ladangnya untuk tahun ini, Zainol Abidin berkata pihaknya menjangka mampu menjual sebanyak 500 ekor lembu dan 1,000 ekor kambing pada Hari Raya Aidiladha.

“Jualan bulanan sepanjang tahun kita sasarkan (sebanyak) 100 ekor kambing dan 20 ekor lembu. Kami yakin dapat mencapai sasaran ini kerana walaupun pertama kali membuka tempahan pada raya korban tahun lepas, kami berjaya menjual 140 ekor lembu dan 400 ekor kambing,” katanya.

Dari segi bekalan, Zainol Abidin berkata ia tidak menjadi masalah kerana semua haiwan boleh diperolehi daripada pasaran tempatan.

Mengenai perancangan jangka panjang, Zainol Abidin berkata beliau bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi untuk menganjurkan sebarang kursus khusus dalam bidang ternakan untuk menarik lebih ramai golongan muda terutamanya yang tidak mempunyai pekerjaan untuk menceburi bidang itu.

“Saya alu-alukan ladang kami dijadikan pusat untuk menjalankan kursus itu kerana saya nampak bidang ternakan mampu memberi pulangan lumayan jika kita menggunakan kaedah dan mempunyai ilmu yang betul,” katanya. — BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close