Ketidaktentuan perdagangan yang semakin memuncak kini memburukkan lagi masalah hutang dan pertumbuhan perlahan dihadapi negara sedang membangun dan negara membangun.
Namun, Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia, Indermit Gill, menjelaskan, negara terbabit boleh meraih manfaat besar jika mereka sendiri dapat mengurangkan tarif import masing-masing.
Sementara itu, Bank Dunia hanya akan mengeluarkan unjuran rasmi dwi tahunannya pada Jun.
Namun, menurut Gill, terdapat konsensus dalam kalangan ahli ekonomi global yang menunjukkan penurunan ketara dalam jangkaan pertumbuhan dan perdagangan.
Indeks ketidaktentuan ekonomi yang sedia tinggi berbanding sedekad lalu, turut melonjak selepas pengumuman tarif oleh Trump pada 2 April lalu.
Gill berkata, paras hutang yang tinggi menyebabkan separuh daripada kira-kira 150 negara membangun dan pasaran sedang pesat membangun kini berdepan risiko tidak mampu membayar hutang atau berisiko ke arah itu.
“Jika pertumbuhan global merosot, perdagangan turut perlahan, lebih banyak negara terjejas dan kadar faedah kekal tinggi, maka lebih banyak negara akan menghadapi tekanan hutang termasuk negara pengeksport komoditi,” katanya.
Pembayaran faedah bersih sebagai peratusan daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ukuran berapa banyak negara berbelanja untuk membayar hutangnya kini berada pada paras 12 peratus untuk pasaran sedang membangun.
Jika dibandingkan, kadarnya adalah tujuh peratus pada 2014, kembali kepada paras yang kali terakhir dilihat pada 1990-an.
Gill menjelaskan, kadar itu lebih tinggi lagi bagi negara-negara miskin, di mana kos khidmat hutang kini menyerap 20 peratus daripada KDNK, berbanding 10 peratus sedekad lalu.
Beliau berkata, negara-negara berkenaan kini mengurangkan sedikit perbelanjaan untuk pendidikan, penjagaan kesihatan serta program lain yang boleh merangsang pembangunan.
Gill juga meramalkan kadar faedah akan kekal tinggi berikutan jangkaan inflasi yang meningkat, sekali gus menyaksikan hutang negara boleh terus meningkat jika mereka terpaksa melunaskan hutang yang sedia ada.
Katanya, negara-negara membangun dinasihatkan untuk segera merundingkan perjanjian dengan AS bagi menurunkan kadar tarif mereka sendiri dan mengelakkan tarif tinggi AS serta memperluas kadar tarif rendah kepada negara lain.
Langkah ini, katanya, masuk akal dilakukan sekarang, dengan tekanan dari AS yang mungkin dapat meredakan rintangan domestik.
Strategi Bank Dunia menunjukkan bahawa langkah-langkah tersebut boleh merangsang pertumbuhan secara ketara. – REUTERS