Duniaku TeknokratGovernans

Jaminan KWSP Kepada Pencarum

Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam segmen berpendapatan tetap seperti sekuriti kerajaan Malaysia (MGS) adalah antara paling selamat kerana ia dijamin kerajaan, demikian mengikut pengurus dana persaraan negara itu.

Ia juga menegaskan, semua pelaburannya dibuat secara profesional dan menepati profil risiko bagi menjamin pulangan jangka panjang kepada pencarumnya.

Malah ketika dunia berdepan krisis, seperti situasi semasa akibat penularan COVID-19, pulangan pelaburan berpendapatan tetap mengimbangi pulangan pelaburan dalam ekuiti, hartanah dan sebagainya yang tidak menentu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Alias, berkata penilaian bagi pelaburan dibuat secara terperinci dan melalui proses tadbir urus yang tegas bagi memastikan simpanan pencarum terjamin.

“Ini sekali gus membolehkan KWSP berada dalam kedudukan lebih baik menghadapi ketidaktentuan pasaran dan berpeluang menambah pelaburan dalam aset yang kukuh.

“KWSP membuat keputusan pelaburan berdasarkan peluang pelaburan yang perlu menepati dan sesuai dengan profil risiko pulangan pelaburan sebagai dana simpanan persaraan jangka panjang dengan mengambil kira ketidaktentuan pasaran semasa, khususnya seperti situasi sekarang yang belum pernah dihadapi sebelum ini,” katanya dalam temu bual dengan BH.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan menggunakan wang rakyat dalam KWSP untuk menampung hutang dalam menjana semula ekonomi negara sehingga kadar hutang dalam negeri meningkat ke paras sekitar had statutori iaitu 55 peratus.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Pelaburan KWSP, Rohaya Mohamad Yusof dan Ketua Pegawai Strategik, Nurhisham Hussein.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata kerajaan tidak bercadang menerbitkan hutang luar atau nota hutang berasaskan mata wang asing bagi membiayai Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang mana suntikan langsung berjumlah RM45 bilion.

Sebaliknya, RM35 bilion daripada jumlah itu, kata beliau, akan akan dijana menerusi hutang domestik susulan kecairan dalam pasaran tempatan adalah kukuh.

Alizakri berkata, persekitaran semasa yang tidak menentu ketika ini juga menawarkan peluang pelaburan menarik bagi KWSP, terutama dalam segmen pendapatan tetap.

Lazimnya, kerajaan akan menerbitkan MGS dengan tempoh matang lebih dari satu tahun, bagi membiayai perbelanjaan pembangunan dan sebagainya untuk dilanggan pengurus dana.

Pandemik COVID-19 sememangnya mencetuskan ketidaktentuan yang amat ketara dan prestasi harian pasaran berubah dengan pantas dan ia memerlukan keputusan kewangan yang tepat dan sesuai.

Beliau berkata, KWSP sentiasa berwaspada dan tidak membuat keputusan secara terburu-buru mengikuti pergerakan pasaran semasa.

“Apabila kerajaan terbit MGS, kami akan melihatnya dari segi kes, jika ia sesuai dengan kita (KWSP) dan sesuai dengan profil risiko, kami akan langgan.

“Ini duit ahli (pencarum KWSP), jadi kita akan mengendalikan apa-apa pelaburan secara profesional, ini jaminan saya kepada ahli, semua perkara dilakukan secara profesional,” katanya.

Beliau berkata, dalam persekitaran turun naik pasaran yang tidak menentu secara ketara, pelaburan dalam pendapatan tetap menjadi pilihan menarik bagi pelabur jangka panjang dalam menyeimbangkan impak negatif terhadap portfolio pelaburan mereka.

Beliau berkata, lazimnya, aset pendapatan tetap mampu memberikan pulangan yang baik dan stabil meskipun ketika krisis, sekali gus menjadikannya pelaburan pilihan utama bagi pelabur jangka panjang.

Justeru, katanya, KWSP sebagai dana simpanan jangka panjang dengan pelaburan di serata dunia, pelaburan dalam pendapatan tetap menjadi pilihan dan pelaburan dibuat itu menepati profil risiko pulangan.

“Krisis adalah peluang. Peluang untuk kami melabur dalam kelas aset yang sesuai dan menepati mandat jangka panjang kami.

“Majoriti pelaburan kami dalam pendapatan tetap kerana ia menyediakan pemeliharaan dan peningkatan modal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan KWSP, Rohaya Mohammad Yusof, berkata pemuliharaan modal adalah penting kepada KWSP berikutan majoriti daripada aset dalam pendapatan tetapnya diperuntukkan untuk lindung nilai.

Beliau berkata, pendapatan tetap adalah antara aset berprestasi tinggi KWSP ketika krisis.

Katanya, pelabur sangat teruja dengan pasaran MGS tempatan dan permintaan untuk MGS sangat tinggi dengan dicerminkan oleh terlebih langganan yang dicatatkan.

Ketika mengumumkan prestasi suku pertama berakhir 31 Mac 2020, KWSP berkata, berdasarkan panduan Alokasi Aset Strategik (SAA), ia memperuntukkan 54 peratus kepada instrumen pendapatan tetap, 36 peratus kepada ekuiti, 6.0 peratus kepada hartanah dan infrastruktur dan 4.0 peratus kepada instrumen pasaran wang.

Pada suku dikaji, instrumen pendapatan tetap menyumbang RM4.87 bilion kepada pendapatan kasar KWSP yang berjumlah RM12.16 bilion.

Ditubuhkan pada 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik.

Terbaru, selaras dengan visi membantu ahli mencapai masa depan lebih baik, KWSP melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh.

Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha tekal untuk mengemaskini dan menambah baik supaya dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia. – BERITA HARIAN ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close