Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesir serta Turkiye untuk lawatan kerja bermula 27 Mei hingga 1 Jun ini.
Beliau juga dijadual merasmikan Forum Minyak Sawit Malaysia Mesir 2024 di Kaherah pada 28 Mei ini.
Menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam satu kenyataan, hari ini, forum diadakan oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) itu bertujuan menerokai potensi pertumbuhan minyak sawit di rantau Afrika Utara.
Pada forum itu, beliau dijangka menekankan peningkatan permintaan global terhadap minyak masak dan derivatifnya, serta komitmen Malaysia untuk pengeluaran minyak sawit yang mampan.
Dalam lawatan ke Turkiye pula, Johari akan bertemu Menteri Perdagangan negara itu pada 31 Mei ini bagi mengenal pasti peluang perniagaan baharu dalam sektor minyak sawit antara Malaysia dengan Turkiye.
“Turkiye ialah destinasi penting untuk eksport minyak sawit Malaysia, menjadikan pertemuan itu amat penting bagi Malaysia,” menurut KPK. – BERNAMA




