Impak kemelut ekonomi Sri Lanka terhadap ekonomi global dan Malaysia khususnya adalah minimum, malah negara ini sukar untuk terjerumus ke dalam konflik sama seperti yang dialami oleh negara Asia Selatan itu, demikian tegas penganalisis.
Profesor Ekonomi Sunway University, Dr Yeah Kim Leng, berkata walaupun Sri Lanka berkongsi banyak persamaan sejarah, budaya dan ekonomi dengan negara ini, tetapi Malaysia melonjak ke hadapan dari segi pendapatan perkapita dan perindustrian, berikutan tempoh kestabilan yang panjang serta kemantapan pengurusan makroekonomi.
Beliau berkata, walaupun paras hutang meningkat, pinjaman sebahagian besarnya dalam denominasi ringgit dan hutang domestik itu tidak terdedah kepada kemungkiran tidak seperti Sri Lanka yang banyak meminjam mata wang asing.
“Sama seperti kebanyakan negara, asas fiskal Malaysia merosot berikutan perbelanjaan pandemik COVID-19, namun ekonominya yang pelbagai dan sektor eksport yang besar ditambah dengan lebihan simpanan domestik yang melebar kepada tiga hingga empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menyebabkan negara ini kurang terdedah kepada hutang luar negeri atau krisis imbangan pembayaran,” katanya kepada BH.
Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, pula berpandangan bahawa impak krisis ekonomi Sri Lanka kepada ekonomi global adalah minimum, begitu juga dengan kesannya terhadap ekonomi Malaysia yang dilihat agak terhad.
Mengikut perangkaan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), beliau berkata, eksport Malaysia ke Sri Lanka pada 2021 adalah bernilai RM3.02 bilion, manakala import adalah pada RM321.84 juta.
“Nilai pelaburan dua hala juga tidak begitu ketara. Walaupun Sri Lanka bergantung kepada sektor pelancongan dalam ekonomi mereka, kesannya kepada ekonomi dunia juga tidak begitu ketara,” katanya.
Irwan Shah berkata, jika melihat apa yang berlaku kepada ekonomi Sri Lanka, ia berpunca daripada pengurusan ekonomi yang tidak berhemat, terutama dari segi aspek kewangan awam yang mengakibatkan berlaku defisit berkembar dan terpaksa bergantung kepada pinjaman luar.
Justeru, katanya, adalah jelas bahawa ciri-ciri itu tidak terdapat dalam konteks ekonomi Malaysia yang kali terakhir mengalami defisit berkembar pada sekitar lewat 1980-an.
“Ekonomi Malaysia juga diurus dengan baik pada lima hingga 10 tahun yang lalu, dengan kadar defisit berjaya dikurangkan daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada tiga peratus pada 2017.
“Pada 2010 hingga 2017 pula, ekonomi Malaysia berjaya berkembang secara purata pada kadar 5.5 peratus setahun. Nisbah hutang kepada KDNK turut terkawal pada kadar 48.7 peratus pada suku pertama 2018,” katanya.
Irwan Shah berkata, satu ciri penting yang membezakan antara ekonomi Sri Lanka dengan Malaysia adalah tahap kedaulatan monetari negara ini yang tinggi.
Beliau berkata, ia berikutan lebih 90 peratus sumber pinjaman atau hutang negara adalah daripada sumber domestik dan hanya sejumlah peratusan yang kecil daripada sumber luar.
“Jadi, kebarangkalian Malaysia menjadi seperti apa yang berlaku kepada ekonomi Sri Lanka pada ketika ini adalah amat jauh sekali,” katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata krisis ekonomi di Sri Lanka dijangka tidak memberi kesan langsung memandangkan pendedahan Malaysia dari segi perdagangan antarabangsa adalah sangat rendah.
Beliau berpandangan, krisis di Sri Lanka itu boleh memberi pengajaran bahawa pengurusan ekonomi yang telus dan bebas rasuah adalah unsur terpenting bagi memastikan sesebuah negara itu akan terus makmur dan harmoni.
Katanya, adalah sangat penting tadbir urus ekonomi yang baik, lengkap dengan mekanisme semak dan imbang dan setiap badan kerajaan yang dipertanggungjawabkan perlu jujur melaksanakan tugas seperti yang diamanahkan.
“Apabila berlaku salah guna kuasa atau rasuah yang berleluasa, pengagihan sumber ekonomi menjadi tidak cekap.
“Dengan kata lain, berlaku pembaziran dan ia sudah pasti membentuk suatu kos yang perlu dibayar oleh rakyat seperti harga barangan menjadi lebih mahal dan produktiviti merosot,” katanya. – BH ONLINE