Governans

Kejayaan Penjana Kapital Beri Kesan Limpahan Kepada Ekosistem Modal Teroka Malaysia – Tengku Zafrul

Kejayaan Penjana Kapital Sdn Bhd menarik lapan syarikat pengurus dana modal teroka (VC) asing akan menyaksikan kesan limpahan yang mampu mengembangkan serta meningkatkan keupayaan ekosistem tempatan dan syarikat permulaan menerusi pemindahan pengetahuan serta memacu peluang rangkaian.

“Komitmen VC luar negara ini juga akan menggalakkan modal persendirian atau swasta untuk menyokong syarikat permulaan dan perniagaan tempatan yang mempunyai masa depan cerah, sekali gus mengurangkan cabaran yang dihadapi mereka berikutan pandemik,” kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Penjana Kapital telah menarik lapan pengurus dana modal teroka asing dari Amerika Syarikat, Korea Selatan, China, Indonesia dan Singapura serta rakan tempatan untuk melabur sehingga RM1.57 bilion dalam syarikat permulaan niaga Malaysia.

Jumlah itu adalah daripada RM600 juta padanan kerajaan berdasarkan kepada komitmen 1:1 sebanyak RM600 juta oleh pengurus dana VC dan potensi pelaburan RM370 juta lagi kepada syarikat yang padan dengan profil dan pelaburan risiko mereka.

Pembiayaan permulaan memerlukan pelabur profesional yang berminat dan benar-benar memahami kelas aset, yang mesti dipadankan dengan pengurus dana VC dengan kepintaran perniagaan dan komitmen terhadap usaha berkenaan dan syarikat permulaan yang telah bersedia menerima pelaburan VC, kata beliau.

Proses ini secara umumnya, melibatkan perancangan perniagaan yang rapi dengan sasaran pertumbuhan yang ditentukan, penilaian perniagaan yang sesuai dan strategi keluar berpotensi untuk pelabur.

“Mengetahui dan memahami proses ini menjadikan kejayaan Penjana Kapital dalam menarik pelabur benar-benar dipuji, terutama pada masa-masa sukar sebegini.

“Dan apa yang biasanya dilaburkan oleh VC ini adalah dalam sektor baharu atau cara baharu untuk menguruskan industri sedia ada yang sememangnya baik untuk pembangunan jangka panjang ekonomi berasaskan pengetahuan,” kata Tengku Zafrul kepada Bernama.

Penjana Kapital diperbadankan pada 1 Julai, 2020 dan bertanggungjawab untuk Dana Penjana Nasional. Penubuhannya adalah sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia.

Ia bertujuan menjadi pemangkin dan membangunkan semula ruang pelaburan modal persendirian Malaysia, dan ia dijangka dapat menguntungkan syarikat permulaan berasaskan teknologi.

Petunjuk awal menyaksikan sektor-sektor yang berminat termasuk teknologi kewangan, teknologi pendidikan, teknologi pertanian, mobiliti dan kepintaran buatan.

Selain daripada ekosistem pelaburan mesra perniagaan di Malaysia, sektor baharu ini juga akan disokong oleh rancangan infrastruktur digital nasional kerajaan bernilai RM21 bilion iaitu Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dirancang untuk meningkatkan kesalinghubungan seluruh negara dan mengoptimumkan penggunaan spektrum Malaysia.

Tengku Zafrul berkata faktor kejayaan utama Penjana Kapital adalah dalam memilih pengurus dana VC ini, ia melaksanakan proses penilaian yang ketat serta diperakui oleh firma perunding global bebas luaran.

“Mereka mengembangkan program yang berstruktur termasuk menetapkan penanda aras prestasi kewangan utama serta menentukan matlamat bukan kewangan/strategik seperti keperluan pemindahan pengetahuan.”

Sebagai contoh, lapan pengurus dana VC ini berserta rakan tempatan masing-masing dipilih melalui proses penilaian dan ketekunan wajar yang teliti oleh panel pelaburan Penjana Kapital.

Dua VC dipilih bagi setiap tahap atau peringkat kitaran hayat VC.

Tahap awal/penciptaan bersama akan menjadi landasan permulaan yang akan membentuk syarikat atau menyediakan modal awal kepada syarikat baharu, jelas beliau.

“Tahap siri A/B akan melabur dalam syarikat pasca-pendapatan yang telah melepasi peringkat ideal. Tahap berikutnya – tahap pertumbuhan akan memberi tumpuan kepada syarikat yang melalui tahap pengembangan. Dan akhirnya, hutang teroka akan menyediakan pembiayaan hutang jangka pendek/sederhana untuk syarikat yang secara tradisinya tidak dilindungi oleh bank,” jelas Tengku Zafrul.

Kedua, memandangkan pandemik telah membantu mempercepat penggunaan pakai digitalisasi, keadaan telah dipermudahkan untuk pelaburan selanjutnya dalam sektor berasaskan teknologi berdasarkan keperluan sebenar terutama dalam sektor seperti teknologi pendidikan untuk mengembangkan pengajaran/ pembelajaran jarak jauh serta teknologi pertanian untuk membangunkan keselamatan makanan.

“Ketiga, hubungan ini juga membolehkan syarikat permulaan dan syarikat Malaysia memanfaatkan hubungan dan nilai tambah yang dimiliki oleh pelabur serantau dan global. Ini dengan sendirinya menyediakan persekitaran yang kaya untuk menyesuaikan idea dan konsep bagi pengkomersialan,” katanya.

Ditanya bagaimana kerajaan akan memastikan modal akan terus berada dalam ekosistem Malaysia, Tengku Zafrul berkata kriteria utama dana berkenaan ialah pengaturan secara minimum ke dalam syarikat permulaan Malaysia. Syarikat pelaburan Asia yang berpotensi mesti membawa faedah ekonomi yang nyata kepada ekonomi Malaysia untuk memenuhi syarat padanan dana 1:1 oleh kerajaan.

“Ini akan menggalakkan modal persendirian untuk terus menyokong perniagaan dan syarikat permulaan yang berpotensi untuk maju.

“Selain itu, kita mendapati banyak pelabur terus melabur dan ini didorong oleh insentif cukai dan ekosistem pelaburan kita yang sangat menarik serta usaha berterusan mempromosikan Malaysia sebagai pangkalan atau batu loncatan yang ideal untuk mengakses pasaran ASEAN dengan populasi 648 juta,” katanya.

Menerusi Dana Penjana Nasional, Menteri Kewangan berkata, ia menyaksikan penyertaan dalam kalangan pengurusan dana modal teroka amat menggalakkan.

“Ini menunjukkan minat dan keyakinan yang kuat daripada komuniti pelaburan antarabangsa terhadap prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia dan industri permulaannya.”

Mengenai Pelan Pemindahan Pengetahuan (KTP), Tengku Zafrul berkata, pelan ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada tiga kumpulan utama industri iaitu pengurusan dana modal teroka, syarikat permulaan dan masyarakat umum secara keseluruhan. Program ini adalah untuk memupuk dan mengembangkan bakat dalam ekosistem modal teroka.

Beliau menjangkakan KTP dapat mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi, sama ada dalam bidang pelaburan yang telah dikenal pasti atau dalam lingkungan ekosistem VC.

“Dijangkakan dalam tempoh sederhana hingga panjang, lebih 700 pekerjaan akan dapat diwujudkan. Seterusnya, kesan rangkaian akan membawa kepada pewujudan lebih daripada 1,000 pekerjaan, sama ada melalui syarikat pelaburan, acara atau latihan. Secara keseluruhan, sekurang-kurangnya 1,800 pekerjaan berkemahiran tinggi akan diwujudkan,” kata beliau. — BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close