Dimensi BisnesPilihan Editor

Kelonggaran Vaksin Langkah Tepat, Pacu Ekonomi

Kelonggaran kepada yang mendapat suntikan imunisasi lengkap disifatkan sebagai langkah tepat ke arah ‘menghidupkan’ semula sektor ekonomi domestik.

Pertimbangan berkenaan juga diyakini berupaya menjadi pendorong kepada lebih ramai penduduk di negara ini untuk mengambil dos pelalian masing-masing, sekali gus membentuk jaringan imuniti kelompok yang meluas.

Demikian pendirian disuarakan enam persatuan iaitu Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPKM), Persatuan Peruncit Malaysia (MRA), Persatuan Rangkaian Peruncit Malaysia (MRCA), Pertubuhan Peruncit Bumiputra (BRO), Persatuan Pengurus REIT Malaysia (MRMA) serta Persatuan Taman Tema dan Tarikan Keluarga Malaysia (MATFA).

Gabungan itu berkata, keistimewaan bagi penerima dos vaksin lengkap sudah lama diutarakan bagi memastikan pembukaan semula sektor ekonomi secara lebih selamat dan secepat mungkin.

Suasana di kompleks beli belah Berjaya Megamall, Kuantan yang suram dan lengang pada 10 Julai lalu. - Foto BERNAMA
Suasana di kompleks beli belah Berjaya Megamall, Kuantan yang suram dan lengang pada 10 Julai lalu. – Foto BERNAMA

 

“Kelonggaran ini wajar diperluaskan kepada pelbagai jenis perniagaan lain, termasuk pusat beli belah, kedai tepi jalan, pusat hiburan, gimnasium, spa, pusat hiburan keluarga, taman tema dan premis berpagar yang berkaitan.

“Justeru, selari pembukaan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV), imuniti kelompok mampu dicapai dengan dengan lebih cepat dan bakal memacu ke arah pembukaan semula sektor ekonomi.

“Pemulihan semula ekonomi domestik yang teruk terjejas angkara pandemik COVID-19 sudah lama dinantikan, maka kami sangat teruja menanti perkembangan lanjut berhubung kelonggaran ini,” menurut kenyataan berkenaan, hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menerusi sidang media khas semalam dilaporkan berkata perincian prosedur operasi standard (SOP) bagi golongan yang mendapat suntikan imunisasi lengkap akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Antara keanjalan atau kebebasan yang bakal dinikmati dan sedang dipertimbangkan ialah kemudahan kemasukan pengembara dari luar negara, ziarah antara pasangan suami isteri jarak jauh, kelonggaran sukan dan makan di restoran.

Menyentuh mekanisme kawalan terbaik, enam gabungan persatuan itu mencadangkan supaya nilai ambang imuniti berkadar 70 peratus digunakan untuk sektor ekonomi berkaitan kembali beroperasi seperti sedia kala.

Sekiranya 70 peratus daripada pekerja premis perniagaan mendapat suntikan imunisasi lengkap, mereka menaruh kepercayaan bahawa ia mampu mengurangkan risiko penularan jangkitan dalam kalangan orang ramai sepanjang waktu operasi.

“Selain itu, hanya pengunjung yang sudah mendapat suntikan imunisasi lengkap dibenarkan masuk ke premis perniagaan dan ini akan diperiksa menggunakan sijil vaksinasi digital pada MySejahtera.

“Aspek lain yang akan diperiksa juga merangkumi pengambilan suhu badan, tiada gejala dan status kontak setiap pengunjung.

“Langkah ini mampu mewujudkan persekitaran ‘gelembung hijau’ bagi mereka yang sudah mendapat suntikan vaksin lengkap, sekali gus merancakkan semula ekonomi domestik.

“Malah, ia berupaya ‘menghidupkan’ semula sektor peruncitan yang terjejas teruk sebelum ini, meskipun hanya 0.8 peratus daripada keseluruhan kes positif dikesan berlaku dalam persekitaran pusat beli belah,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close