Duniaku TeknokratPilihan Editor

Zeti Umum Persaraan Sebagai Pengerusi PNB

Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz akan bersara dan tidak menyambung kontraknya sebagai Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang akan tamat esok.

PNB dalam satu kenyataan berkata, Zeti secara rasmi sudah menulis surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) bagi menyatakan hasrat beliau untuk tidak memperbaharui tempoh kontrak jawatannya itu setelah menamatkan penggal tiga tahun.

Ia berkata, sepanjang menjadi Pengerusi PNB sejak 2018, Zeti sudah memacu perjalanan transformasi kumpulan dan menyaksikan institusi itu mencapai kemajuan besar dalam tiga bidang utama.

“Pertamanya adalah usaha kepelbagaian ke dalam kelas aset dan pasaran global yang lebih luas menyaksikan pendedahan PNB dalam aset antarabangsa meningkat kepada 12.3 peratus pada akhir 2020. Usaha ini mengukuhkan portfolio pelaburan PNB daripada hanya tertumpu dalam ekuiti domestik.

“Kedua, PNB berjaya mengukuhkan keupayaan pengurusan risiko dan kecairannya, dengan fokus menurunkan peratusan pegangan tunai yang tinggi hasil daripada pengurusan pendedahan risiko pertukaran asing yang lebih besar.

“Akhir sekali, PNB memulakan transformasi organisasinya, menghasilkan inovasi digital, kecekapan operasi dan pengembangan bakat menerusi pelbagai inisiatif,” katanya.

Mengulas mengenai persaraannya itu, Zeti berkata, berkhidmat sebagai Pengerusi PNB selama tiga tahun adalah satu penghormatan kepada dirinya.

Beliau berkata, PNB sudah melaksanakan agenda transformasi organisasi dalam tempoh yang mungkin paling mencabar dan transformatif pernah dialami.

“Ketika ini, agenda transformasi yang dilaksanakan mendorong potensi peningkatan prestasi dan inovasi yang lebih besar, serta kecekapan yang lebih tinggi.

“PNB kini berada dalam kedudukan teguh untuk melaksanakan yang lebih baik dan meraih penciptaan nilai jangka panjang yang disasarkan untuk pemegang unit,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata sumbangan Zeti sepanjang menjawat jawatan itu tidak ternilai.

Beliau berkata, Zeti membawa bersama pengalaman hampir empat dekadnya dalam perkhidmatan awam dan pengukuhan institusi yang memberi manfaat besar kepada PNB.

“Bagi pihak lembaga pengarah, barisan kepimpinan dan warga kerja PNB, saya mengucapkan setinggi penghargaan kepada Tan Sri Zeti atas kepimpinan yang berwawasan dan sumbangan yang tidak ternilai beliau kepada PNB, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) dan anak syarikat kumpulan PNB sepanjang tempoh tiga tahun,” katanya.

Mengenai pengganti Zeti, ia akan diputuskan oleh YPB dalam tempoh terdekat. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close