MalaysiaPilihan EditorTwo Cents

Kembali Fitrah UMNO Dilahirkan Iaitu “Iqamatud Din Wa Siyasatud Dunya” – Peguam Muda Kampung

Menegakkan agama dan mengatur urusan dunia

 Oleh Faisalludin Mohamat Yusuff

 

Alhamdulillah Umno kini sudah berusia 76 tahun.

Satu tempoh yang pastinya penuh dengan pelbagai pengalaman dan cabaran.

Syukur kepada Allah SWT di atas segala nikmat dan rahmat yang diberi.

Parti ini masih lagi tegak berdiri, walaupun dirinya terus diasak dan diuji, dengan ranjau dan onak berduri, khidmat dan bakti akan terus diberi, kepada bangsa, agama dan juga pertiwi.

Dalam tempoh 76 tahun, Umno sangat memahami apa itu erti di puncak kuasa, apatah lagi maksud hilang kuasa, perpecahan dan perbalahan sesama saudara, pemimpin datang dan pergi setiap masa.

Tetapi yang penting dan pasti, disebalik segala apa yang berlaku dan masa yang telah berlalu, Umno terus bangkit mendepani hari-hari berikutnya berjuang mendukung cita-cita Agama Islam, Kebangsaan Melayu, Bumiputera, Anak Negeri Sabah dan Orang Asli serta Perpaduan Malaysia demi kemakmuran dan kestabilan negara ini.

Sempena menyambut ulang tahun Umno yang ke 76 ini ditambah selepas kita meraikan hari raya Aidilfitri, sewajarnya kita kembali kepada Fitrah Umno dilahirkan iaitu “Iqamatud Din Wa Siyasatud Dunya” (menegakkan agama dan mengatur urusan dunia).

Yang sudah berlalu telah menjadi sejarah untuk kita jadikan pelajaran dan panduan dalam menempa sejarah baru.

Saya teringat satu kata hikmah dari negarawan ulung di India, Mahatma Ghandi yang berbunyi “Masa depan ditentukan apa yang kita lakukan hari ini” (The future depends on what you do today).

Maka, masa hadapan Umno 100 tahun lagi ditentukan oleh kita pada hari ini.

Sebagai sebuah parti yang bersifat pragmatik dan dinamik berdasarkan waqi’iyah (realiti semasa), sudah tentu segala cabaran yang kita bakal hadapi kelak memerlukan satu perancangan yang berwawasan, teliti dan inklusif.

Ianya hendaklah dimulakan dengan kestabilan dan kesatuan di dalam keluarga besar parti ini.

Bukan untuk cerminan kepada rakyat semata-mata tetapi ianya juga untuk kelangsungan masa depan parti ini di dalam negara.

Dengan kestabilan dan kesatuan di dalam parti, barulah rakyat percaya kepada kita, barulah boleh kita memimpin negara.

Apatah lagi sewaktu rakyat dan negara bergelut dengan kesan Covid-19 yang masih melanda.

Hanya dengan kestabilan dan kesatuan di dalam parti, kita boleh merencana masa hadapan parti dan mengembalikan negara semula di persada dunia. Dengan bergerak seiring, senafas, seia dan sekata, rakyat pasti akan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada kita untuk terus menakhoda negara tercinta.

Semoga Allah SWT terus merahmati UMNO untuk terus berbakti kepada watan dan menjadikan negara ini “Baldatun Toyyibatun Warobbun Ghofur” (Negara yang terbaik dan mendapat keampunan dari Allah SWT). – BACALAHMALAYSIA.MY

Selamat hari lahir ke 76 UMNO

Bersatu, Bersetia & Berkhidmat

AKHIRAT, NEGARA & KELUARGA

 

  • Penulis ialah Peguam Muda Kampung (PMK)

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close