Pilihan EditorTurun Naik

Kerajaan Baharu Perlu Inklusif, Kepentingan Rakyat Jadi Keutamaan – Penganalisis

Oleh Ilah Hafiz Aziz

Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menggambarkan kerajaan baharu yang dibentuk pada masa hadapan perlu bersifat inklusif iaitu tidak diterjemah kepada hanya satu parti atau gabungan parti semata-mata.

Titah baginda khususnya berkaitan ‘menghulurkan tangan kepada orang yang kalah’ dipercayai merujuk kepada amanah pemimpin yang dilantik untuk terus bekerjasama dengan semua parti politik dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Pakar perlembagaan, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, berkata Kabinet perlu diterjemah sebagai kebersamaan ahli politik yang memainkan peranan penting untuk menjalankan amanah dengan meletakkan kepentingan rakyat serta pemulihan ekonomi sewaktu pandemik ketika ini.

“Titah Yang di-Pertuan Agong juga memberi gambaran supaya mereka yang kalah tidak perlu berdendam kerana apa yang dititahkan baginda seolah-olah mahukan Kabinet atau kerajaan perpaduan dibentuk. Ia agar tiada pihak yang terlampau berebut jawatan Perdana Menteri.

“Penekanan dinyatakan baginda mengenai kalah menang itu memberi perhatian agar dua blok ini mesti ada peranan dalam kerajaan yang akan dibentuk tidak lama lagi.

“Tidak boleh Perikatan Nasional sahaja, tidak boleh Pakatan Harapan sahaja, semua pihak harus terbabit, malah Kabinet sendiri mesti ada dua ‘representor’,” katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong mengingatkan Ahli Dewan Rakyat yang menang supaya menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan pihak yang tidak berjaya, sebagai satu pasukan.

Baginda berdua turut menzahirkan pandangan supaya semua Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti politik dengan fokus kepada isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang berlaku dengan kadar segera.

Wan Ahmad Fauzi berkata, keabsahan juga menjadi perkara utama dalam titah Yang di-Pertuan Agong yang perlu dipertimbangkan dua blok politik terbesar untuk memastikan tiada lagi ahli Dewan Rakyat yang menarik diri.

“Ia tidak cukup untuk dilihat secara dalam parti sahaja, sebaliknya luar kerangka parti juga perlu dilihat dengan melibatkan keanggotaan dalam Kabinet,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan, pula berkata titah Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan landskap politik baharu bertujuan memastikan Perdana Menteri baharu mendapat sokongan secara bipartisan.

“Sekiranya Datuk Seri Ismail Sabri mempunyai majoriti membentuk kerajaan, majoriti itu bukan sekadar datang dari Perikatan Nasional tetapi Pakatan Harapan atau Parti Warisan Sabah umpamanya. Kenapa baginda bertitah sedemikian? Ia untuk memastikan kerajaan yang ditubuhkan adalah kerajaan yang stabil dan kukuh.

“Baginda akur kemelut politik yang timbul adalah kerana setiap Ahli Parlimen jalankan tugas ikut acuan parti dan bukannya mengikut acuan kepentingan negara,” katanya.

Katanya, landskap politik baharu sedemikian mungkin unik di Malaysia tetapi di negara lain, sokongan bipartisan tercetus demi kepentingan sesebuah negara, khususnya dalam tempoh pandemik yang sukar ini.

“Contohnya di Kanada, Perdana Menteri, Justin Trudeau adalah dari kerajaan minoriti tetapi sudah empat kali melalui proses undi tidak percaya dan akhir April lalu, ketika undi belanjawan, ia diterima kerana mendapat sokongan dari parti-parti lain,” katanya.

Katanya, sekiranya konsep kerajaan perpaduan diambil kira, maka pembangkang perlu menyertai kerajaan namun jika konsep sokongan bipartisan, maka pembangkang tidak perlu berada dalam kerajaan. – BH ONLINE

  • Penulis ialah seorang wartawan Berita Harian.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close