MalaysiaPilihan Editor

Tak Perlu Lagi Imbas QR Kod Masuk Premis

Kerajaan tidak lagi mewajibkan orang ramai membuat imbasan kod QR menerusi aplikasi MySejahtera apabila memasuki premis atau tempat awam lain, berkuat kuasa 1 Mei ini.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata orang awam disarankan supaya mengaktifkan fungsi MySJ Trace bagi pengesanan kontak.

Pihak pengurusan premis hendaklah menyemak status risiko individu dalam aplikasi MySejahtera yang memasuki premis.

“Individu dengan status ‘High Risk’ (Risiko Tinggi) pada aplikasi MySejahtera iaitu kes positif COVID-19 dan individu yang diberi arahan Perintah Pengawasan dan Pemantauan (HSO) tidak dibenarkan masuk ke premis.

“Justeru, aplikasi MySejahtera masih lagi penting untuk digunakan antara lain bagi tujuan pelaporan keputusan ujian pengesanan COVID-19 dan arahan HSO.

“Ia juga penting untuk membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam pencegahan dan kawalan COVID-19,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini sini bagi mengumumkan kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 di negara ini selaras dengan Fasa Peralihan Ke Endemik.

“Ini termasuk individu dalam tempoh HSO termasuk pengembara tanpa vaksinasi lengkap yang baru tiba di Malaysia tidak dibenarkan masuk ke premis,” katanya.

Beliau berkata, fungsi HotspotTracker yang dahulu digunakan untuk menjejak kawasan titik panas kes COVID-19 kini akan diubah sebagai Infectious Disease Tracker untuk melihat kawasan titik panas penyakit lain seperti rabies (penyakit anjing gila), demam campak (measles), penyakit tangan, kaki & mulut (HFMD) dan denggi.

“Kawasan ini akan ditentukan berdasarkan jumlah kes aktif di kawasan lingkungan pengguna untuk setiap penyakit berjangkit,” katanya sambil menambah langkah proaktif itu diambil bagi mengelakkan daripada mengunjungi kawasan berisiko tinggi berlaku penularan penyakit berjangkit terutamanya jika bersama-sama mereka yang berisiko tinggi dan mempunyai komorbiditi.

“Saya juga amat menggalakkan persatuan-persatuan komuniti menggunakan fungsi ini untuk membantu dalam mengawal penularan penyakit berjangkit di kawasan kediaman masing- masing dengan melaksanakan pelbagai aktiviti seperti gotong-royong serta pembersihan kawasan perumahan dan perkampungan,” katanya.

perlu bayar untuk suntikan vaksin kanak-kanak selepas PICKids tamat

Khairy juga mengumumkan bahawa bayaran akan dikenakan bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak selepas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) ditamatkan 15 Mei ini.

Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (CITF-C) mengumumkan pemberian dos pertama di bawah PICKids hanya akan diberikan hingga 15 Mei ini dan tidak lagi ditawarkan selepas tarikh akhir berkenaan memandangkan permintaan rendah vaksinasi yang boleh menyebabkan pembaziran vaksin yang tinggi.

“Selepas tarikh tersebut, vaksin yang diberikan adalah secara berbayar dan jenis vaksin yang diberikan ialah Sinovac,” katanya.

Khairy berkata pengambilan suntikan terbabit boleh dibuat di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) berbayar. Program PICKids tidak dapat dipanjangkan kerana ia membabitkan tarikh luput vaksin, penghantaran daripada pengeluar selain terdapat usaha untuk memperoleh lebih banyak ubat antiviral.

Dalam pada itu, Khairy berkata penularan COVID-19 di negara ketika ini berada pada tahap terkawal dengan kadar positiviti antara lima hingga 10 peratus.

Pelaporan berhubung penularan kes COVID-19 di negara ini tidak akan dikeluarkan secara harian bermula esok.

“Esok (Khamis) adalah hari terakhir KKM akan mengeluarkan (pelaporan itu) dan ia akan dikeluarkan secara mingguan selepas ini,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close