Usahawan dan pempengaruh popular, Khairul Aming mencipta sejarah apabila jualan produk keduanya, Dendeng Nyet Berapi mencapai lebih RM1.2 juta dalam tempoh tiga minit 39 saat, sebaik dilancarkan di platform TikTok Shop, malam tadi (2 Februari 2024).
Khairul atau nama sebenar, Khairul Amin Kamarulzaman, 32, mengumumkan berita itu pada hantaran Instagram (IG) dengan menyatakan sebanyak 80,000 pek Dendeng Nyet Berapi ‘licin’ disambar pembeli.
Khairul yang diumum Creator Of The Year pada TikTok Awards Malaysia 2023 yang disiarkan secara langsung TV3 dan akaun TikTok Malaysia, memaklumkan Dendeng Nyet Berapi dilancarkan secara rasmi pada jam 9 malam tadi, iaitu genap tiga tahun produk pertamanya, Sambal Nyet Berapi dijual.
“Pasukan kami bekerja kuat untuk bangunkan produk ini. Saya amat terharu dengan sokongan anda,” katanya pada sesi siaran langsung (live) sempena kempen jualan 2.2 di TikTok Shop, malam tadi.
Mendapat sambutan luar biasa, dendeng yang dijual dalam pek pada harga RM14.90 itu habis terjual dalam masa singkat. Pencapaian ini dikatakan rekod baharu dalam sejarah TikTok Shop sebagai platform jualan dalam talian di Malaysia.