Oleh Amir Jalal; Jason Loh Seong Wei
Ketidakpastian bilakah negara boleh kembali beroperasi seperti sedia kala walaupun di bawah normal baharu dan bilakah strategi keluar daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dapat dilaksanakan menimbulkan kebimbangan sekuriti makanan negara.
Terdapat keperluan menerapkan pendekatan holistik dalam menangani sekuriti makanan negara dengan mengambil kira isu harga makanan, termasuk inflasi.
Ini boleh dilihat menerusi Skim Harga Maksimum untuk musim perayaan tahun ini membabitkan makanan dan barangan berkaitan seperti tomato, cili merah, bawang besar serta cili kering.
Pada peringkat awal PKP, barang disenaraikan sebagai tidak penting, terkandas di pelabuhan.
Ini mengakibatkan gangguan dalam rantaian bekalan domestik kerana ia memberi kesan langsung terhadap saluran pengedaran, sekali gus menimbulkan masalah dalam sektor ekonomi lain.
Jelas walaupun makanan dan minuman disenaraikan sebagai barangan penting, disebabkan timbunan barangan tidak penting terkandas di pelabuhan, ia menghalang barangan penting untuk memasuki pelabuhan.
Ditambah pula, terdapat laporan mengenai kekurangan sayur-sayuran, terutama dari Cameron Highlands.
Malah, harga beberapa makanan meningkat dengan ketara ketika PKP fasa pertama.
Di Alor Setar, harga kubis meningkat daripada RM4 kepada RM6.50 sekilogram, manakala harga cili besar meningkat daripada RM8 kepada RM12 sekilogram.
Ketika itu, lori dan trak membawa sayur-sayuran dikatakan berhadapan sekatan jalan raya, waktu operasi lebih pendek dan kekurangan tenaga kerja untuk menghantar bekalan.
Pada masa sama, penutupan restoran dan operasi terhad untuk pasar basah juga mengganggu rantaian bekalan dan mengurangkan bekalan makanan segar.
Pada masa sama, walaupun bahan mentah dan barangan separuh siap untuk kilang pembuatan tidak termasuk dalam barangan penting, ia menjadi masalah kepada pihak berkuasa pelabuhan kerana kapasiti tidak mencukupi dan menyebabkan kelewatan serta tunggakan dalam rantaian bekalan.
Jika situasi ini tidak diuruskan dengan sebaiknya, kos penyimpanan barangan akan ditanggung pengguna akhir, seperti disahkan Presiden Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF), Alvin Chua.
Ini akan memberi kesan dalam bentuk tekanan inflasi ketika kadar pengangguran meningkat, sekali gus memberi kesan buruk terhadap sekuriti makanan negara.
Dalam memastikan bekalan makanan sampai ke pasar (pengguna akhir), kita harus memastikan harga makanan dan inflasi juga dapat dikendalikan dengan cekap.
Mengambil pengajaran dengan apa yang berlaku, kerajaan perlu memberikan fokus kepada beberapa perkara dalam merancang sekuriti makanan negara.
Pertama, kerajaan harus menyediakan pusat simpanan stok atau menjadi pembeli akhir. Inisiatif ini bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan petani dan pengeluar hasil pertanian, bahkan menghapuskan orang tengah dalam mengurangkan kos kepada pengguna akhir.
Kedua, menyediakan hab makanan bersepadu, iaitu pusat untuk pengeluar dan pengedar makanan dikumpulkan bagi menjimatkan kos serta memendekkan rantaian bekalan, termasuk mengurangkan campur tangan orang tengah. Hab ini boleh ditempatkan di beberapa lokasi secara strategik.
Ketiga, pengawasan harga lebih kerap dengan mempertingkat penguatkuasaan dan pemantauan dengan merekrut lebih ramai barisan hadapan, sekali gus mencipta peluang pekerjaan.
Keempat, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) harus meningkatkan peranan koperasi sebagai sebahagian saluran pengedaran atau penghantaran dalam rantaian bekalan. Melalui pembelian pukal, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan terhadap orang tengah.
Kelima, menubuhkan pasukan khas agri-sekuriti makanan untuk menangani cabaran sekuriti makanan negara dalam kalangan pakar sektor pertanian, peladang, ahli ekonomi, pakar runding, saintis makanan dan pemegang taruh di bawah pimpinan Perdana Menteri dibantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan.
Buat masa ini, tahap sara diri (SSL) negara di bawah 75 peratus. Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) negara secara keseluruhannya meningkat di kedudukan ke-28 daripada 113 negara pada 2019 dengan skor 73.8, yang dianggap ‘pencapaian baik.’
Jika dilihat dalam pecahan subkategori, dari segi kemampuan makanan, kita juga berada di tangga ke-28.
Namun, untuk keselamatan makanan dan kualiti makanan, kita berada di kedudukan ke-42.
Hal ini perlu diberi penekanan kerana akhirnya, sekuriti makanan akan bersangkut paut dengan dinamik harga makanan dan inflasi. – BERITA HARIAN ONLINE
- Penulis adalah Pasukan Penyelidik di EMIR Research