Duniaku TeknokratPilihan Editor

Lebih 20 Peratus Wanita Jadi Lembaga Pengarah Syarikat Tersenarai – Bursa Malaysia

Bursa Malaysia memuji usaha syarikat senaraian awam (PLC) yang menunjukkan tindakan positif terhadap kepelbagaian jantina dalam komposisi Lembaga Pengarah mereka.

Bursa Malaysia berkata, bagi keseluruhan PLC yang disenaraikan di Bursa Malaysia, peratusan purata pengarah wanita pada masa ini berada pada kira-kira 22 peratus pada 1 Mei 2023.

Malah, mengikut Kesaksamaan Jantina dalam Kepimpinan Korporat: Laporan Analisis Serantau oleh Inisiatif Bursa Saham Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SSE PBB) dengan kerjasama Perbadanan Kewangan Antarabangsa (IFC) pada Disember 2022, Malaysia adalah satu daripada empat pasaran baharu muncul, dengan lebih 20 peratus daripada 100 kerusi lembaga teratas dipegang wanita.

IFC adalah ahli Kumpulan Bank Dunia dan Wanita PBB.

Bursa Malaysia bagaimanapun berkata, antara cabaran dalam perjalanan ke arah mencapai sasaran 30 peratus ialah mengkaji amalan beberapa PLC yang mempunyai semua lelaki dalam Lembaga Pengarah.

Ia berkata, pada Januari 2022, pihaknya mengumumkan bahawa PLC dengan permodalan pasaran sebanyak RM2 bilion sehingga 31 Disember 2021 akan melantik sekurang-kurangnya seorang ahli Lembaga Pengarah wanita menjelang 1 September 2022, sementara PLC lain, keperluan itu perlu dipatuhi menjelang 1 Jun 2023.

“Setakat 1 Jun 2023, terdapat 24 PLC yang masih belum melantik sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita, justeru gagal mematuhi keperluan yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia,” katanya.

Pengendali pasaran saham itu berkata, syarikat tersenarai dalam Pasaran Utama dikehendaki mengurus kepelbagaian secara berkesan dalam organisasi masing-masing bermula tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, demikian kata Bursa Malaysia Bhd.

Ia berkata, PLC Pasaran Utama dikehendaki berbuat demikian dengan melaksanakan dasar, proses dan inisiatif yang berkaitan untuk menggalakkan kepelbagaian dan membuat pendedahan yang sepadan dalam penyata atau laporan kelestarian mereka.

Manakala, PLC Pasaran ACE pula, jelasnya, akan tertakluk kepada keperluan itu mulai tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

“Bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti, Bursa mewajibkan semua PLC melaporkan petunjuk berikut untuk menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa iaitu peratusan pengarah mengikut jantina dan kumpulan umur dan peratusan pekerja mengikut jantina dan kumpulan umur, bagi setiap kategori pekerja,” katanya.

Berjaya Corporation Bhd (BCorp), tahun ini antara lain mengumumkan barisan Lembaga Pengarah yang terdiri daripada semua wanita, diketuai oleh Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim Ismail sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close