Industri getah negara komited mematuhi Peraturan Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR) dan buat pertama kalinya, Malaysia mengeksport getah asli yang mematuhi pensijilan Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) ke pasaran Kesatuan Eropah (EU).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata Syarikat Lee Rubber Group (LRG) Sdn Bhd akan mengeksport 100 tan SMR ke Slovakia manakala Syarikat Seng Hin Rubber (M) Sdn Bhd akan mengeksport 100 tan SMR ke Belanda.
Kedua-dua syarikat memperoleh 100 peratus bahan mentah daripada estet dan pekebun kecil tempatan yang mematuhi MSNR.
“Walaupun peraturan EUDR masih belum dikuatkuasakan, ini menunjukkan komitmen Malaysia dalam mematuhi aspek kemampanan antarabangsa melalui MSNR,” katanya pada majlis pelancaran eksport pertama getah Malaysia mematuhi MSNR ke EU di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof; Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Zurinah Pawanteh dan Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr Zairossani Mohd Nor.
Johari berkata, isu alam sekitar dan kemampanan semakin mendapat perhatian dunia, khususnya peraturan EUDR.
Parlimen EU telah menunda tarikh penguatkuasaan EUDR daripada 30 Disember 2024 kepada 30 Disember 2025 untuk syarikat besar dan 30 Jun 2026 untuk perusahaan kecil dan sederhana.
“Pelaksanaan MSNR mewujudkan keyakinan terhadap penerapan amalan kemampanan,” katanya.
“MSNR adalah pengiktirafan mampan bagi memastikan getah asli Malaysia kekal berdaya saing.”
“MSNR dibangunkan untuk melindungi kepentingan industri getah negara termasuk mengekalkan kuasa pasaran Malaysia di EU iaitu sekitar 15 peratus atau RM3.87 bilion daripada jumlah eksport getah asli dan produk getah asli negara.”
LGM telah membangunkan sistem kebolehjejakan, MSNR Trace, bagi menjejaki rantaian bekalan getah asli.
“MSNR Trace memastikan ketelusan, kemampanan dan akauntabiliti dalam pengeluaran getah asli,” katanya.
“Sistem ini menangani isu alam sekitar dan sosial dalam industri di mana pihak berkepentingan boleh menjejaki transaksi getah mentah dari ladang hingga ke produk akhir.”
Industri getah telah menyokong ekonomi Malaysia sejak tahun 1950-an dan kekal menjadi antara penyumbang utama.
Industri getah juga penting dalam pembangunan sosio-ekonomi negara sebagai punca rezeki bagi lebih 250,000 keluarga pekebun kecil dan menawarkan hampir 100,000 peluang pekerjaan pada tahun 2023.
Tahun lalu, sektor ini menyumbang pendapatan eksport sebanyak RM27.8 bilion, disokong oleh industri hiliran getah yang bernilai tinggi. – BH ONLINE




