GovernansMalaysiaPilihan Editor

Malaysia Catat Pelaburan Tertinggi Dalam Sejarah, RM329.5 Bilion Tahun Lalu – Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara, sebanyak RM329.5 bilion pada tahun lalu, iaitu 23 peratus lebih tinggi berbanding 2022.

Perdana Menteri berkata, daripada jumlah pelaburan tersebut, pelaburan asing adalah penyumbang utama iaitu sebanyak 57.2 peratus berbanding pelaburan domestik 42.8 peratus.

“Prestasi cemerlang ini disokong oleh peningkatan sebanyak 35.1 peratus bagi pelaburan domestik dan sebanyak 15.3 peratus bagi pelaburan asing.

“Secara tidak langsung, ini merupakan satu petanda bahawa dasar mesra pelaburan (pro-investment) dan mesra perniagaan (pro-business) yang dilaksanakan menerusi pendekatan seluruh Kerajaan (whole-of-government) telah mula membuahkan hasil dalam meningkatkan keyakinan pelabur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Sektor perkhidmatan merekodkan pelaburan tertinggi dengan menyumbang lebih daripada separuh (51.1 peratus) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan iaitu RM168.4 bilion.

Petanda kebangkitan semula ekonomi

Anwar berkata, landskap pelaburan negara yang memperlihatkan prestasi yang amat memberangsangkan ini juga mencerminkan pemulihan dan kebangkitan semula ekonomi negara sepanjang lebih setahun pentadbiran Kerajaan MADANI.

Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat MPN hari ini juga membincangkan mengenai hala tuju pelaburan digital negara, selaras dengan perkembangan sektor ekonomi digital yang semakin pesat dan merupakan antara sektor ekonomi yang penting dalam memperkukuhkan agenda pelaburan negara.

Ekonomi digital di Malaysia yang menyumbang sebanyak 23.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021, diunjurkan meningkat kepada 25.5 peratus menjelang 2025.

Bagi tempoh 2021 hingga 2023, sebanyak 396 projek berkaitan digital sudah diluluskan dengan nilai pelaburan sebanyak RM128.9 bilion, yang merangkumi projek yang diluluskan melalui Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (NCI).

“Pelaburan dalam projek digital ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan kepada 36,553 rakyat tempatan. Antara pelaburan digital yang diluluskan adalah dalam sektor pusat data, pengkomputeran awan, pengehosan data, analisis data besar, dan kecerdasan buatan,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran syarikat-syarikat digital terkemuka dunia dan peneraju pasaran global di Malaysia juga memberi isyarat penting bahawa Malaysia mempunyai tarikan dan ekosistem pelaburan yang kondusif untuk pelaburan digital.

“Justeru, kerajaan perlu memudahcara sebaik mungkin pelaburan digital berpotensi tanpa sebarang kompromi terhadap aspek berkaitan keselamatan data dan kedaulatan negara,” katanya. – BH ONLINE/BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close