GovernansMalaysiaPilihan Editor

Malaysia Raih Komitmen Pelaburan RM170 Bilion Dari China, Tertinggi Dalam Sejarah

Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM170 bilion daripada pelabur China.

Ia hasil daripada 19 memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara syarikat Malaysia dengan China, di sini, sebentar tadi.

Pencapaian berkenaan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan ribuan pelabur dan ahli perniagaan pada Forum Perniagaan Malaysia-China 2023, di sini.

Menurut Perdana Menteri, ia sekali gus menunjukkan keyakinan China, khususnya pelabur dari negara itu terhadap ekonomi Malaysia.

“Saya harus berterima kasih kepada pelabur kerana memberi kerjasama serta keyakinan kepada kami bahawa apa yang saya nyatakan sebentar tadi (dalam ucaptama) adalah yang terbaik untuk masa depan Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan lawatan rasmi ke China. - FOTO BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan lawatan rasmi ke China. – FOTO BERNAMA

 

Terdahulu dalam ucap tama pada forum itu, Anwar memberi jaminan bahawa kepemimpinannya akan memastikan segala bentuk kemudahan dalam menjalankan perniagaan dan pelaburan di Malaysia, berada pada tahap paling optimum.

“Justeru, bina lebih banyak perkongsian dengan syarikat Malaysia terutama dalam sektor strategik, untuk memajukan hubungan (Malaysia-China) supaya lebih mendalam.

“Kepada semua pemimpin perniagaan kami baik di China dan Malaysia, jadilah pemangkin kepada pembaharuan. Teruskan tugas kamu sebagai warga korporat yang bertanggungjawab,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pelaburan dari China itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah pelaburan besar diumumkan Perdana Menteri itu membabitkan komitmen pelaburan syarikat swasta dari China.

Daripada jumlah itu, katanya, komitmen pelaburan RM100 bilion dipersetujui hasil pertemuan Anwar bersama 50 pelabur berprofil tinggi dan tokoh korporat China pada sesi meja bulat, manakala RM70 bilion lagi adalah daripada pemeteraian 19 MoU pada forum berkenaan.

Syarikat berkenaan termasuk dalam sektor perumahan, pembinaan, pendidikan, teknologi, pertanian serta tenaga.

Forum Perniagaan Malaysia-China 2023 berlangsung sehari itu dihadiri 1,000 peserta daripada kedua-dua negara yang dihoskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Petang ini, satu lagi MoU penting akan dimeterai antara kerajaan dalam pertemuan Anwar dengan rakan sejawat, Li Qiang, sejurus selesai upacara sambutan rasmi di Dewan Besar Rakyat, di sini, nanti.

Pemeteraian MoU yang bakal disaksikan kedua-dua pemimpin itu merangkumi protokol untuk meminda perjanjian bagi memperluas serta memperdalam kerjasama ekonomi dan perdagangan antara Kerajaan Malaysia dengan China, membabitkan MITI serta Kementerian Perdagangan China.

 

Anwar menghadiri mesyuarat meja bulat dengan pelabur berprofil tinggi dari China, hari ini. - FOTO BERNAMA
Anwar menghadiri mesyuarat meja bulat dengan pelabur berprofil tinggi dari China, hari ini. – FOTO BERNAMA

 

Selain itu, protokol keperluan fitosanitasi untuk pengeksportan nangka ke China membabitkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (MAFS) serta Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) akan turut dimeterai.

Protokol terakhir akan ditandatangani pula berkait keperluan kuarantin dan kesihatan untuk import makanan akuakultur dari Malaysia ke China, membabitkan MAFS.

Anwar tiba di China pada Rabu lalu untuk lawatan rasmi empat hari dengan mengetuai delegasi yang turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Jadual Perdana Menteri cukup padat yang antara lain menyaksikan Perdana Menteri mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden China, Xi Jinping, di Dewan Besar Rakyat, Beijing, semalam.

Ia adalah pertemuan empat mata pertama dan bersejarah antara kedua-dua pemimpin itu yang mengadakan mesyuarat selama hampir sejam.

Selesai berjumpa Jinping, Anwar bersama delegasi Malaysia mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC), Zhao Leji, juga di Dewan Besar Rakyat.

Di Beijing, Anwar turut menyempurnakan majlis iftar Perdana Menteri bersama delegasi perniagaan dan pemimpin Muslim China. Kira-kira 300 ahli perniagaan dari Malaysia dan China hadir pada majlis itu.

Sebelum itu pada hari pertama ketibaan, Anwar meluangkan masa beramah mesra serta berbuka puasa bersama wakil komuniti Islam setempat dan delegasi Malaysia yang menyertai Forum Boao bagi Persidangan Tahunan Asia (BFA 2023) di Hainan.

Pada majlis berkenaan, Anwar turut mengimamkan solat maghrib dan menunaikan solat sunat tarawih di Hotel Boao Golden Coast. – BH ONLINE

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close