Pilihan EditorTwo Cents

MALAYSIA PRIHATIN: Universiti Limkokwing Sebahagian Penggerak Memperkasakan Bina Bangsa Dan Negara Bangsa

Pembinaan negara bangsa merupakan matlamat utama sesebuah negara untuk  menyuburkan rasa cinta dengan semangat nasionalisme rakyat pada tanah air negara di tahap yang tertinggi.

Proses awal pembinaan negara bangsa Malaysia, lebih tertumpu kepada keperluan  semasa negara.

Usaha-usaha intensif bagi mencapai matlamat itu mula dilaksanakan menerusi rancangan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) pada awal tahun 70-an.

Matlamat yang lebih jelas ke arah usaha pembinaan negara bangsa apabila kerajaan giat memperkenalkan Wawasan 2020 pada tahun 1991.

Wawasan yang menekankan  terhadap keperluan wujudnya bangsa Malaysia.

Pembinaan negara bangsa berdasarkan acuan Malaysia dilaksanakan melalui pelbagai bidang.

Salah satu daripada bidang terpenting ialah pendidikan memandangkan bidang ini berperanan sebagai wahana utama membentuk perpaduan masyarakat berbilang kaum dan seterusnya  mencorakkan pembentukan negara  bangsa Malaysia.

Sehubungan itu, pendidikan berperanan sebagai alat sosialisasi politik bagi  membina kesedaran baharu dan membangkitkan imej baharu negara Malaysia sebagai sebuah negara bangsa.

Melalui objektif tersebut, generasi pewaris negara diharapkan dapat memahami keadaan masyarakat dan negara khususnya dalam usaha memupuk semangat kekitaan, perpaduan dan seterusnya membawa negara ini kepada pengukuhan agenda perpaduan kaum secara holistik.

SEJARAH BANGSA MALAYSIA

Menurut pengasas dan Presiden Universiti Limkokwing, Tan Sri Profesor Emeritus, Dr. Lim Kok Wing berkata, ditinjau daripada segi sejarah, bangsa Malaysia adalah satu konsep baharu bagi rakyat berbilang bangsa di  negara  ini.

“Apabila Malaya diisytiharkan merdeka pada 31 Ogos  1957, yang dilahirkan ialah sebuah negara Malaysia yang merdeka, bukan  bangsa.

“Begitu  juga, apabila Malaysia terbentuk pada tahun 1963, yang kita miliki hanyalah negara Malaysia, sedangkan bangsa Malaysia yang utuh dan bersatu padu masih jauh daripada terwujud.

“Kejayaan Malaysia telah dibina atas usaha gandingan masyarakat berbilang kaum dan dibangunkan dengan semangat  yang  tidak  membenarkan berlakunya tafsiran sempit daripada segi identiti warga, tidak membenarkan berlakunya amalan ekstremisme agama, tidak mengizinkan berlaku  ketidakadilan  dalam kalangan  warga  dan  tidak mengizinkan tercetusnya sebarang kebimbangan terhadap jaminan  masa  hadapan  mana-mana warga,” katanya.

PEMBENTUKAN BINA BANGSA

Justeru itu, Kok Wing berkata, pembentukan  bangsa  atau ‘nation  building’ perlu diterapkan dan ia melibatkan proses yang  lama  dan  tidak  boleh  dicapai  dalam  jangka  waktu dua  atau  tiga  puluh  tahun  sahaja.

“Perpaduan masyarakat berbilang bangsa yang wujud sekarang perlu dipertingkatkan  lagi  ke  tahap  yang  lebih  mantap  dan kukuh  supaya  mampu  menghadapi  berbagai-bagai  tekanan dan  cabaran tanpa mudah tergugat dengan agenda memecahbelahkan kaum.

 

“Oleh itu, pendidikan Malaysia perlu ditekankan dan adalah asas pembinaan bangsa melalui proses-proses membentuk kesinambungan, perpaduan, negara  bangsa,  menggorak perubahan  sosial, ekonomi  bangsa  dan  negara  serta sumber  inspirasi.

“Proses kesinambungan ini dapat diperolehi melalui sejarah serta membolehkan pembinaan negara bangsa dicapai hasil penelitian terhadap  kewujudan atau pembentukan masyarakat,” tambah Kok Wing.

GAGASAN PERPADUAN NASIONAL

Dalam pada itu, Kok Wing berkata, pendidikan sejarah berperanan sebagai alat  penting bagi memupuk perpaduan bangsa berbilang bangsa di negara ini dan membina masyarakat yang bersatu padu.

Katanya, negara bangsa Malaysia merupakan usaha menjadikan diri sebagai  rakyat  Malaysia  yang  berkongsi negara dan impian yang sama dalam mendukung agenda agenda perpaduan negara dan membolehkan masyarakat berbilang bangsa dan agama hidup bersama-sama dalam suasana harmoni di samping mengekalkan identiti dan ciri bangsa masing-masing.

Usaha ini bagi merealisasikan hasrat rakyat Malaysia yang komited memahami falsafah kesederhanaan dan penerimaan dalam masyarakat berbilang bangsa.

“Rakyat Malaysia perlu menghormati perbezaan kepelbagaian agama.

“Sikap perkauman dan ketaksuban agama sama sekali tidak boleh diterima dalam negara berbilang bangsa.

“Kerajaan perlu melakukan lebih banyak usaha untuk membendung isu perkauman daripada tidak dapat dikawal pada masa depan melalui memperkenal Akta Keharmonian Nasional atau Akta Perhubungan Kaum,”katanya.

PROMOSI BINA BANGSA MALAYSIA

Usaha untuk mempromosi Malaysia di mata dunia menjadi platform untuk membuktikan negara sebagai contoh kesepakatan masyarakat berbilang bangsa dan keamanan hidup atas semangat toleransi.

Universiti Limkokwing turut memainkan peranan membantu kerajaan sejak dari kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, kedua sehingga keenam dalam mempromosi program bina bangsa dan kempen membantu menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Sejak 45 tahun Universiti Limkokwing dalam industri pendidikan tinggi negara, kini lebih daripada 139 video diterbitkan Universiti Limkokwing dalam usaha memperkasa perpaduan dan keharmonian kepelbagaian masyarakat berbilang bangsa yang termaktub dalam PerlembagaanPersekutuan.

Video perpaduan merupakan jaringan kerjasama antara kerajaan dan Universiti Limkokwing ini telah dikongsikan di laman sesawang dan media sosial seperti Facebook, Youtube, Twitter, dan termasuk laman web Universiti Limkokwing yang telah mencapai tontonan lebih daripada 5 juta daripada rakyat Malaysia dan antarabangsa.

MAHASISWA PENGGERAKAN USAHA BINA BANGSA

Kok Wing juga menjelaskan, usaha pembinaan bangsa negara turut melibatkan peranan mahasiswa universiti yang merupakan antara agen penggerak memperkasakan semangat bina bangsa dalam mengukuhkan semangat perpaduan dan penyatuan erat masyarakat berbilang kaum di negara ini.

 

Mahasiswa perlu rasional dengan membuat penilaian bijak agar persengketaan yang berlaku tidak berlarutan lama sehingga menjejaskan keharmonian dan kestabilan negara.

Tambahnya, sebagai golongan intelektual dan berpelajaran, mahasiswa tidak seharusnya terlalu taksub dalam sesuatu perkara terutamanya apabila timbul persengketaan yang melibatkan perbezaan fahaman serta pendapat.

“Elemen keharmonian, berintegrasi dan bina bangsa penting diterapkan dalam diri setiap mahasiswa bagi mengelak daripada wujudnya isu sensitif seperti perkauman dan agama dalam persekitaran mereka.

Katanya, mahasiswa merupakan pelapis kepimpinan negara memainkan peranan penting dalam menyuntik semangat perpaduan yang luhur dalam sanubari generasi muda. – BACALAHMALAYSIA.MY

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close