Poster GrafikTurun Naik

Mengangkat Kembali Agenda Ekonomi Bumiputera

Oleh Idris Ahmad

 

Tanggal 1 Mac lalu, genap setahun kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerajui Kerajaan Persekutuan selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama 22 bulan.

Persoalan penting perlu dilihat dalam konteks dua kerajaan berbeza ini. Antaranya sejauh mana kedua-duanya menjaga kepentingan Bumiputera dengan melaksanakan inisiatif dan dasar dalam membantu agenda Bumiputera.

Umum tahu, agenda Bumiputera bukan satu daripada perkara pokok ditekankan atau ingin dilaksanakan dalam dasar kerajaan PH.

Hal ini juga sering berkait rapat dengan rakyat yang sentiasa dimomokkan bahawa kerajaan ketika itu tiada sumber kewangan dan dibebani hutang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk melaksanakan dasar dalam membantu rakyat, terutama mengangkat semula agenda Bumiputera itu sendiri.

Ini menunjukkan Malaysia bukannya tidak mempunyai sumber pendapatan atau memiliki beban hutang tinggi sebagaimana dicanangkan sebelum ini.

Apabila PN mengambil alih kepemimpinan negara, agenda Bumiputera berjaya diangkat kembali secara berperingkat terutamanya melalui Belanjawan 2021.

Kerajaan memperuntukkan RM11.1 bilion bagi pembangunan ekonomi Bumiputera iaitu tambahan RM3.1 bilion (28 peratus) peruntukan berbanding tahun sebelumnya.

Sebagai perbandingan, jumlah peruntukan untuk agenda Bumiputera melalui Belanjawan 2019 dibentangkan Menteri Kewangan ketika itu hanya kira-kira RM3.6 bilion daripada jumlah besar RM314.5 bilion peruntukan keseluruhan.

Peruntukan diagihkan dalam agenda Bumiputera khususnya untuk pendidikan dan perniagaan Bumiputera juga lebih rendah.

Contohnya, hanya RM2 bilion diperuntukkan kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi tajaan biasiswa dan pinjaman pelajar Bumiputera. Nilai ini jauh lebih rendah dibandingkan RM6.5 bilion untuk meningkatkan pendidikan berkualiti kepada institusi Bumiputera seperti MARA dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Belanjawan 2021.

Dalam konteks pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), melalui Belanjawan 2019 hanya RM1 bilion disediakan untuk PKS Bumiputera dan RM100 juta kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) untuk membiayai usahawan kecil.

Jumlah itu jauh lebih rendah dibandingkan melalui Belanjawan 2021, di mana RM4.6 bilion diperuntukkan. Ia membabitkan RM510 juta untuk pembiayaan PKS dan PKS mikro Bumiputera melalui TEKUN dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), selain RM800 juta melalui program peningkatan keupayaan oleh Bank Pembangunan Malaysia dan SME Bank.

Selain itu, RM2 bilion disediakan bagi membantu pembiayaan PKS Bumiputera melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan RM 1.3 bilion ringgit lagi untuk pelbagai program peningkatan kapasiti termasuk pembangunan profesional, Dana Kemakmuran Bumiputera serta program atau projek khusus untuk Bumiputera.

Seterusnya, kerajaan PN merangka langkah khusus untuk meningkatkan pegangan Bumiputera dalam sektor hartanah melalui Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) bagi melaksanakan pembangunan komersial atas tanah rizab Melayu.

Ia akan dapat mengoptimumkan nilai tanah rizab serta membantu ekonomi Bumiputera.

Langkah ini bertujuan merealisasikan hasrat kerajaan untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera menjelang 2030.

Inisiatif kerajaan melalui Belanjawan 2021 ini dilihat satu permulaan baik jika dibandingkan Belanjawan 2019 dan 2020 yang kurang memberikan penekanan kepada agenda Bumiputera.

Namun dalam jangka masa panjang, kerajaan perlu memperkenalkan satu kerangka dan model baharu pembangunan ekonomi Bumiputera yang
perlu ditambah baik, terutama dalam mendepani pasca COVID-19 yang semestinya memerlukan satu formulasi lebih berkesan.

Sebagai permulaan, langkah boleh diambil dengan memperkasa institusi kewangan yang menjaga dana dan simpanan Bumiputera.

Antaranya seperti Permodalan Nasional Bhd (PNB) khususnya yang membabitkan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Lembaga Tabung
Haji (TH).

Hal ini mengambil kira pengagihan pendapatan ASB yang direkod semakin menurun sejak 2017 hingga 2020. Lantas, terdapat keperluan mendesak untuk kerajaan merangka strategi khusus bagi memperkasakan PNB.

Sasarannya meningkatkan pengagihan pendapatan ASB bagi 2021 kepada sekurang-kurangnya kembali kepada tahap pengagihan pendapatan (dividen dan bonus) yang biasa dicapai sebelum ini, iaitu antara tujuh hingga sembilan sen seunit.

Sebagaimana ASB, kerajaan juga perlu memberikan perhatian kepada usaha mengangkat semula TH sebagai institusi kewangan Islam yang disegani bukan sahaja dalam negara bahkan seluruh dunia.

Melalui peningkatan agihan keuntungan bagi 2020, ia menjadi titik tolak kepada kemampuan TH dalam mengurus simpanan dan pelaburan umat Islam di Malaysia. Hal ini penting untuk menambah keyakinan umat Islam secara keseluruhannya terhadap agensi itu.

Usaha berterusan perlu dilaksanakan dalam membantu TH meningkatkan lagi simpanan Bumiputera, seterusnya meningkatkan pengagihan pendapatan bagi 2021 kepada tahap pengagihan pendapatan (dividen dan bonus) yang biasa dicapai iaitu antara lapan hingga sembilan peratus.

Dengan memperkasakan kedua-dua institusi simpanan dan pelaburan Bumiputera ini, ia akan menjadi titik permulaan penting kepada agenda lebih besar iaitu mengangkat semula ekonomi Bumiputera. Akhirnya, ia memberi hasil dan pulangan lumayan kepada Bumiputera. – BERITA HARIAN

 

  • Penulis adalah Ahli Dewan Negara dan bekas Ahli Dewan Rakyat serta Naib Presiden PAS

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close