Pilihan EditorTwo Cents

SOAL JAWAB: RISDA Sasar Usaha 100,000 Hektar Ladang Getah Terbiar

PIHAK Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mensasarkan bagi ‘menghidupkan’ semula sekurang-kurangnya 100,000 hektar ladang getah yang tidak diusahakan demi memajukan semula sektor itu, sekali gus membantu penoreh meningkatkan pendapatan mereka.

Jumlah itu adalah keluasan disasarkan RISDA pada tahun ini, daripada keseluruhan 420,000 hektar ladang getah yang terbiar di negara ini, susulan isu-isu semasa seperti kekurangan tenaga kerja dan ketidakstabilan harga pasaran.

Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib, berkata melalui usaha pembangunan semula itu, kira-kira 52,000 kebun di bawah seliaan RISDA akan terbabit dalam projek berkenaan.

Beliau berkata, RISDA berhasrat untuk menguruskan semula ladang getah terbiar itu secara konsep estet melalui syarikat milikannya dalam usaha meningkatkan daya saing sektor itu di negara ini.

Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib. - Foto NSTP
Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib. – Foto NSTP

 

“Saya sudah meminta untuk pihak RISDA membuat kajian bagi menguruskan balik ladang getah tidak diusahakan itu secara estet, antaranya membabitkan lokasi di Kelantan dan Sarawak.

“Jika ia dipersetujui, usaha ini berupaya memberi kesejahteraan kepada pekebun kecil yang sebelum ini mungkin tidak mahu menguruskan ladang kerana harga getah yang rendah. Kita mahu mewujudkan keadaan yang boleh memberikan situasi ‘menang-menang’.

“Pada tahun ini, kita boleh mulakan dengan 100,000 hektar ladang tidak bertoreh dan untuk sasaran seterusnya mungkin 200,000 hektar pula boleh diuruskan semula,” katanya, di sini hari ini.

Manndzri yang baharu dilantik sebagai Pengerusi RISDA, awal bulan ini, memfokuskan usaha untuk mensejahterakan kira-kira 552,543 pekebun kecil di bawah seliaan pihak berkuasa itu.

RISDA menyelia kira-kira sejuta hektar ladang getah di negara ini dengan bagi setiap 100 batang pokok itu, 86 daripadanya diuruskan oleh pihak berkuasa terbabit.

Kebanyakan pekebun kecil di bawah RISDA ketika ini sudah mencapai usia 58 tahun ke atas namun masih berupaya menyumbang sebanyak 85.3 peratus pengeluaran getah asli berbanding sektor estet pada 14.7 peratus.

Salur pelbagai insentif

 

RISDA menyediakan anak pokok berkualiti bagi menjamin pengeluaran susu getah yang bermutu. - Foto RISDA
RISDA menyediakan anak pokok berkualiti bagi menjamin pengeluaran susu getah yang bermutu. – Foto RISDA

 

Pada masa sama, Ahli Parlimen Tenggara itu berkata, buat masa ini, RISDA meneruskan inisiatif membantu berdepan cabaran produktiviti rendah dan kebun getah tidak bertoreh dengan memperkasa variasi sembilan bantuan melalui Program Skim Getah Matang (SGM++).

Beliau berkata, program itu dilaksanakan bagi meningkatkan produktiviti getah kepada 1,800 kilogram setiap hektar dan tahun dengan pemerkasaan amalan pertanian baik secara berkesan kepada pekebun kecil.

“Selain itu bantuan turut diberikan kepada pekebun menghasilkan skrap dan lateks melalui Program Produktiviti Getah Pekebun Kecil (PROGET) dan Program Pengeluaran Lateks (PROTEKS).

“PROGET menawarkan bantuan komponen baja, racun rumpai, set torehan, bahan rangsangan dan kos penyelenggaraan kebun yang bernilai RM10,500 di Semenanjung; RM11,500 (Sabah dan Sarawak) bagi tempoh lima tahun setelah selesai bantuan utama penanaman getah.

“Bagi PROTEKS pula, ia menawarkan bantuan bernilai RM14,500 bagi tempoh lima tahun setelah selesai bantuan utama penanaman getah bagi meningkatkan pendapatan lebih 30 peratus daripada pengeluaran skrap,” katanya.

 

Baja premium antara bantuan input pertanian yang diberikan kepada pekebun kecil. - Foto RISDA
Baja premium antara bantuan input pertanian yang diberikan kepada pekebun kecil. – Foto RISDA

 

 

RISDA menyediakan latihan khas kepada peserta bagi melahirkan peserta yang berilmu dan berkemahiran dalam aspek penjagaan kebun. - Foto RISDA
RISDA menyediakan latihan khas kepada peserta bagi melahirkan peserta yang berilmu dan berkemahiran dalam aspek penjagaan kebun. – Foto RISDA

 

Beliau berkata, melalui program tanam semula getah, setiap peserta menerima bantuan RISDA sebanyak RM13,710 sehektar di Semenanjung; RM14,805 sehektar di Sarawak dan RM14,955 sehektar di Sabah.

Katanya, bantuan itu membabitkan 509 benih getah bagi setiap hektar, 150 beg baja getah setiap hektar untuk tempoh lima ansuran dan kos pembangunan, pembersihan serta penyelenggaraan kebun.

Beliau berkata, RISDA juga memberikan bantuan sehingga RM32,800 bagi program lain antaranya Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET), agromakanan, tabung khairat kematian berjumlah RM2,000, tuisyen rakyat dan lain-lain mengikut kelayakan.

Manndzri berkata, mereka juga menikmati Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) sebanyak RM800 selama empat bulan sepanjang tahun.

“Industri getah sentiasa mempunyai permintaan yang tinggi namun isu dan cabaran dihadapi pekebun kecil getah ketika ini amat berbeza dengan situasi pasaran ekonomi.

“Pekebun kecil menghadapi cabaran sangat luas dan kompleks yang menuntut pembaharuan dalam pelbagai aspek iaitu ketidakstabilan harga getah, persaingan pengeluaran getah sintetik, persaingan tanaman komoditi lain.

“Aplikasi teknologi baharu, penyesuaian tanah dengan klon atau benih, serangan penyakit serta perubahan cuaca mengundang kepada penurunan produktiviti selain disumbang oleh faktor usia pekebun kecil,” katanya.

Manndzri berkata, sepanjang 2024, kerajaan MADANI menyalurkan bantuan berjumlah RM676 juta berbanding RM666.9 juta pada tahun lalu.

 

RISDA melaksanakan pelbagai pembaharuan dari pelbagai aspek pengeluaran getah. - Foto RISDA
RISDA melaksanakan pelbagai pembaharuan dari pelbagai aspek pengeluaran getah. – Foto RISDA

 

Katanya, bantuan paling tinggi diperuntukkan pada program Kawasan Bertanam Getah sebanyak RM337.6 juta dan Program Bantuan Musim Tengkujuh sebanyak RM264.9 juta.

“Ia termasuk penyampaian bantuan kepada kumpulan penoreh lebih 80,000 orang yang tidak berada di bawah kelolaan RISDA.

“Menerusi pembangunan hasil baharu dalam program keusahawanan, agromakanan, khidmat latihan, rawatan penyakit pokok serta peningkatan produktiviti merangkumi RM33.57 juta disalurkan dengan tujuan memberi pendapatan tambahan selain bergantung kepada hasil tanaman getah.

“Justeru. keseluruhan peruntukan ini mencerminkan komitmen kerajaan MADANI dalam usaha membangunkan industri getah dengan cara lebih inklusif, dengan menitikberatkan pembangunan holistik sektor pekebun kecil getah yang dipertanggungjawabkan kepada RISDA,” katanya.

 


FASGET lahirkan generasi baharu pekebun kecil

Program Fasiliti Getah Matang (FASGET) yang diperkenalkan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berjaya melahirkan 1,700 pekebun baharu termasuk generasi muda, sepanjang tahun lalu.

Melihat kepada kejayaan program itu, Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib, berkata kira-kira 2,000 lagi pekebun kecil generasi baharu dijangka dapat dilatih sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, melalui FASGET, pekebun baharu berusia antara 18 hingga 50 tahun diberikan latihan kemahiran dari tempoh enam bulan hingga setahun.

 

Setiap peserta menerima bantuan RM13,710 sehektar di Semenanjung serta RM14,805 sehektar di Sarawak dan RM14,955 sehektar di Sabah melalui program tanam semula getah RISDA. - Foto RISDA
Setiap peserta menerima bantuan RM13,710 sehektar di Semenanjung serta RM14,805 sehektar di Sarawak dan RM14,955 sehektar di Sabah melalui program tanam semula getah RISDA. – Foto RISDA

 

Katanya, program ini diwujudkan bagi memastikan kebun getah terus diusahakan berdasarkan keperluan semasa pekebun kecil dengan menarik minat generasi muda terbabit dalam industri perladangan getah.

“Pekebun akan dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran berkonsepkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam aspek penjagaan kebun, penanaman dan penyimpanan sekerap serta lateks.

“Sepanjang kursus, mereka akan diberikan elaun sebanyak RM300 sebulan dan selesai tempoh kursus, sijil latihan akan diperoleh golongan terbabit untuk menguruskan kebun dengan lebih baik,” katanya.

Kerja fleksibel, upah menarik

Pada masa sama, Manndzri berkata, pelaksanaan FASGET dijangka dapat memberi impak positif dalam mewujudkan tenaga kerja tempatan terlatih dan mahir bagi menampung keperluan industri dengan menawarkan persekitaran kerja fleksibel dan upah menarik.

Melalui program FASGET ini, Manndzri berkata, pengeluaran getah berjaya ditingkatkan sebanyak tiga kali ganda iaitu daripada 50 metrik tan pada 2022 kepada 150 metrik tan, tahun lalu.

 

Manndzri meninjau projek agromakanan tanaman limau pekebun kecil. - Foto RISDA
Manndzri meninjau projek agromakanan tanaman limau pekebun kecil. – Foto RISDA

 

Beliau berkata, RISDA menyasarkan hasil pengeluaran getah adalah sebanyak 300 metrik tan daripada 337 pekebun kecil yang menyertai FASGET.

“FASGET diwujudkan adalah berdasarkan kepada keperluan semasa pekebun kecil untuk memastikan kebun getah terus diusahakan dengan pendapatan sebaik mungkin diterima.

“Selain kursus kepada generasi baharu pekebun, FASGET turut menawarkan Kemudahan Infrastruktur Pemasaran (KIP) dengan enam komponen bantuan.

“Ia membabitkan Pusat Timbang dan Stor (PTS), Depo Pengumpulan Skrap (DPS), Depo Pengumpulan Lateks (DPL), Pusat Memproses Getah Berkelompok (PMGB), Prasarana Ladang (PL) dan Insentif Pengeluaran Skrap (IPS),” katanya.

Manndzri berkata, semua program itu menyediakan infrastruktur pemasaran bagi membolehkan pekebun kecil menjalankan aktiviti pemasaran secara berkelompok untuk memendekkan rantaian pemasaran dan mendapat harga terbaik.

Ujarnya lagi, sehingga kini RISDA mempunyai 23 depoh dengan sasaran penambahan tujuh lagi depo sepanjang tahun ini iaitu di Perak, Kelantan, Johor dan Kedah.

Dalam perkembangan sama, Manndzri berkata, RISDA juga akan meneroka peluang bagi penggunaan teknologi dan mekanisasi dalam pengurusan ladang.

Katanya, dengan cara itu, ia memudahkan lagi pekebun kecil dalam mengusahakan kebun masing-masing, sekali gus berupaya meningkatkan produktiviti. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close