MalaysiaPilihan Editor

Belanjawan 2023 Dijangka Guna Peruntukan Besar

Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan semula oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat esok dijangka menggunakan peruntukan lebih besar berdasarkan daripada unjuran kutipan hasil lebih tinggi bagi tahun ini, demikian menurut penganalisis.

Ahli Ekonomi CGS-CIMB, Nazmi Idrus, berkata jangkaan peruntukan yang besar itu adalah dengan mengambil kira persekitaran ekonomi yang lebih baik selain pertumbuhan ekonomi nominal yang lebih tinggi, berbanding semasa belanjawan asal dibentangkan oleh kerajaan sebelum ini.

“Memandangkan belanjawan sebelum ini dibentangkan pada 2022, kami percaya persekitaran domestik yang lebih kukuh pada separuh kedua 2022 mungkin menyebabkan unjuran bagi perbelanjaan pengguna dinaikkan, justeru anggaran lebih baik bagi kutipan cukai korporat dan cukai pendapatan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh kerajaan terdahulu memperuntukkan sebanyak RM372.3 bilion, belanjawan terbesar dalam sejarah negara.

Nazmi berkata, kerajaan juga akan menyaksikan beberapa penjimatan, dengan komitmen untuk melaksanakan subsidi bersasar.

“Mengikut pengiraan, pertumbuhan KDNK lebih baik daripada jangkaan pada 2022 (8.7 peratus berbanding unjuran Kementerian Kewangan antara 6.5 hingga 7.0 peratus) akan menghasilkan pulangan nilai KDNK mutlak lebih tinggi.

“Memandangkan defisit fiskal diukur sebagai peratusan kepada KNDK, ini akan bermakna nisbah yang lebih baik walaupun tiada perubahan ke atas baki fiskal keseluruhan bagi kedua-dua tahun 2022 dan 2023,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata CGS-CGS menjangkakan tiada sebarang cukai besar baharu dalam belanjawan kali ini, namun usaha kerajaan untuk menambah pendapatan bermakna kemungkinan akan ada beberapa cukai ‘kejutan’.

Kerajaan juga, katanya akan meninjau kepada pelbagai cara untuk menambah pendapatan, seperti dalam bidang kelestarian.

“Anwar telah berulang kali bercakap mengenai isu-isu kelestarian dan kami percaya kerajaan boleh meningkatkan pendapatannya dengan melaksanakan cukai dalam bidang itu, seperti cukai ke atas pembungkusan plastik atau fi ke atas pelepasan sisa buangan,” katanya.

Nazmi berkata, Perdana Menteri turut menyatakan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak terikat dengan janji-janji pentadbiran terdahulu.

Sebagai contoh, kerajaan terdahulu katanya berjanji bahawa Cukai Makmur, yang diperkenalkan pada 2022 bagi menaikkan cukai pendapatan korporat ke atas pendapatan melebihi RM100 juta kepada 33 peratus daripada 24 peratus, tidak akan diperkenalkan semula.

“Kami percaya pentadbiran sekarang boleh membawa semula cukai ini, dalam satu bentuk berlainan, berikutan persekitaran korporat yang agak berdaya tahan dengan jangkaan pertumbuhan kukuh dari segi perolehan korporat,” katanya.

Beliau menambah, satu lagi kemungkinan adalah pengenalan cukai baharu yang berkaitan dengan kekayaan, memandangkan Malaysia masih belum mengenakan sebarang cukai ke atas keuntungan modal daripada pelaburan dalam saham, atau cukai ke atas dividen begitu juga pemindahan harta warisan tidak dikenakan cukai.

Katanya, cukai-cukai sedemikian boleh menangani isu ketidaksamaan dan pengagihan kekayaan, konsisten dengan agenda politik kerajaan sekarang.

“Bagaimanapun, langkah-langkah ini mungkin mengakibatkan kesan negatif lain, seperti pelabur ‘lari’ dari pasaran saham tempatan, atau pelaburan terhakis apabila lebih banyak dana sektor swasta dialihkan kepada perbelanjaan sektor awam,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close