Oleh wartawan BacalahMalaysia.my
Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) menonjolkan lebih 5,000 usahawan tempatan dalam menjayakan “Kick-Off Bazar Raya secara serentak di 1,077 NADI seluruh negara, baharu-baharu ini.
Pencapaian luar biasa usahawan tempatan NADI ini adalah di bawah inisiatif Program Perkhidmatan Pintar NADI anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) .
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil melahirkan keyakinan tinggi “Kick-Off Bazar Raya NADI yang diadakan serentak di 1,077 NADI seluruh negara mampu membantu usaha kerajaan untuk memperkasakan aspek keusahawanan dalam kalangan komuniti setempat.
“Program ini diadakan sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba dan kita tonjolkan lebih 5,000 usahawan yang telah menggunakan perkhidmatan NADI bagi meningkatkan kemahiran mereka sama ada untuk mengetahui cara menghasilkan produk seperti bakeri atau mengikuti program di TikTok Shop.
“Jadi kesemua usahawan ini kita jemput untuk sertai Kick-Off Bazar Raya ini untuk meningkatkan pendapatan di komuniti masing-masing,” katanya selepas merasmikan Bazar Raya NADI di NADI Sri Pantai di sini.
Turut hadir Pengarah MCMC Wilayah Persekutuan Faisal Hamdi Mohammed Ghouth dan Ketua Pejabat NADI MCMC Dr Mohd Arif Adenan.
Fahmi, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, berkata “Kick-Off Bazar Raya NADI” yang dianjurkan hanya sehari itu merupakan projek perintis bagi menilai kesesuaiannya untuk dilaksanakan pada perayaan lain seperti Deepavali dan Tahun Baharu Cina.
Lebih menarik, beliau berkata Bazar Raya NADI turut membawa Jualan Rahmah MADANI dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Jualan Agro MADANI oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
“Ini secara langsung dapat memberi bantuan kepada komuniti dengan mereka berupaya membeli barangan keperluan terutama menjelang Aidilfitri pada harga rahmah dan lebih murah.
“Program ini juga adalah satu eksperimen dan setelah kita teliti hasil, jualan dan isu yang dihadapi, saya nampak ada kemungkinan untuk dilaksanakan pada perayaan akan datang dengan sedikit penambahbaikan,” katanya. – BACALAHMALAYSIA.MY