Malaysia

Periksa Status Lebih Awal, Elak ‘Tersekat’ Di Pintu Keluar Masuk Negara Akibat Tunggakan Cukai

Pembayar cukai disaran menyemak status sekatan perjalanan mereka lebih awal sebelum membuat perjalanan ke luar negara bagi mengelak tekanan pada saat akhir kepada mereka yang mungkin ‘tersekat’ di pintu keluar masuk negara akibat tunggakan cukai.

Pegawai Perhubungan Awam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Azaharuddin Mohd Ali, berkata pembayar cukai perlu sentiasa mengemas kini butiran peribadi dan maklumat lain menerusi pangkalan data LHDN bagi memudahkan agensi itu memaklumkan sebarang tunggakan cukai atau sekatan perjalanan yang dikenakan.

“Kebanyakan pembayar cukai tidak mengemas kini maklumat, sebab itu LHDN menguar-uarkan kepada mereka untuk sentiasa mengemas kini butiran peribadi sebab segala maklumat yang kita salurkan hanya yang terkini ada di pangkalan data LHDN.

“Pembayar cukai disaran melayari portal MyTax https://mytax.hasil.gov.my/ dan kemas kini maklumat peribadi terkini seperti e-mel, alamat rumah dan nombor telefon,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program terbitan Bernama Radio dengan topik ‘Klinik Cukai – Sekatan Perjalanan: Apa Perlu Dilakukan?’ hari ini.

“Bagaimanapun, bagi mereka yang kurang berkemampuan untuk membayar tunggakan cukai secara sepenuhnya boleh berbincang dengan LHDN untuk mendapat kebenaran bagi pelepasan sementara mengikut tempoh dipersetujui.

“Kita pun tahu kadang-kadang mungkin pembayar cukai yang ingin keluar negara atas faktor mendesak, contohnya kematian saudara di luar negara, jadi kita ada pertimbangan sewajarnya.

“LHDN rasional, ada budi bicara dan kita tidak terlalu kejam sampai minta bayaran penuh. Jadi, kita ada pertimbangan iaitu pembayar cukai boleh berbincang dengan LHDN untuk mendapat persetujuan dan kita akan berikan pelepasan sementara kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, pembayar cukai dinasihat tidak culas membuat bayaran tunggakan secara ansuran yang dipersetujui.

Katanya, semakan status sekatan perjalanan boleh dibuat menerusi portal Sistem Semakan Perjalanan Imigresen (SSPI) Jabatan Imigresen di https://sspi.imi.gov.my/. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close