Ringgit kekal sebagai mata wang berprestasi terbaik dalam kalangan mata wang ASEAN setakat tahun ini ini, dengan mencatatkan peningkatan sekitar 6.2 peratus.
Ia berbanding penurunan rupiah Indonesia berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setakat tahun ini, sambil mengatasi prestasi baht Thailand dan dolar Singapura.
Menurut Maybank Research, ringgit pada bulan lalu meneruskan momentum positif dengan meningkat sekitar 0.4 peratus dan menyaksikan beberapa perubahan apabila dolar AS secara umumnya melemah pada pertengahan September menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS.
Ia berkata, ringgit berbanding dolar AS berada pada paras RM4.1877 pada 17 September berikutan kebimbangan pengumuman FOMC, tetapi sejak itu telah kembali ke paras sekitar RM4.20 sejajar dengan paras unjuran suku ketiga pihaknya.
“Kami masih mengekalkan unjuran ringgit berbanding dolar AS buat masa ini dengan pandangan bahawa kelemahan mata wang AS akan berterusan dan kenaikan sederhana renminbi kekal dalam landasan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Maybank Research menjangkakan ringgit berbanding dolar AS pada sekitar RM4.10 bagi suku keempat tahun ini dan RM4.05 pada suku pertama 2026.
Ia berkata, keredaan sementara ketegangan tarif antara AS dan China serta ekonomi utama seperti Jepun, pengumuman perjanjian perdagangan zon euro menyediakan persekitaran yang menyokong sokongan tukaran asing pasaran baharu muncul dan ringgit.
Buat masa ini, katanya, perkembangan itu sepatutnya memberi petanda baik untuk ringgit dan aset Malaysia memandangkan ia akan membawa kepada lebih kepastian mengenai prospek ekonomi.
“Kami mengekalkan unjuran ringgit berbanding dolar AS mencerminkan faktor-faktor ini, khususnya pengukuhan renminbi berterusan yang akan memberikan sedikit daya tahan kepada mata wang serantau,” katanya.
Maybank Research juga mengekalkan pandangan positif terhadap tukaran asing ASEAN berikutan kelemahan dolar AS yang secara keseluruhan sepatutnya menyokong trend peningkatan jangka sederhana ke tahun depan.
Katanya, prestasi akan berbeza merentasi mata wang serantau, namun ringgit dijangka menerajui peningkatan berikutan pengukuhan fiskal, manakala peso Filipina mungkin mendapat manfaat daripada harga minyak yang lebih rendah meskipun terdapat kekangan mudah tunai.
Menurutnya, baht Thailand boleh mengukuh, walaupun peningkatan mungkin dihadkan oleh kebimbangan terhadap peningkatan mata wang.
Sementara itu, rupiah Indonesia, katanya akan kekal disokong di tengah-tengah peralihan dasar dan pelarasan makro, dan dolar Singapura kekal berdaya tahan dengan tiada lagi pelonggaran oleh Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) dijangkakan. – BH ONLINE