Governans

PARLIMEN: ‘Kita Kaji Semula Levi Keuntungan Luar Biasa Minyak Sawit, Akan Dipulangkan Untuk Bantu Pekebun’ – Johari Ghani

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bercadang mengkaji semula levi keuntungan luar biasa (WPL) ke atas minyak sawit di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata ia dijangka dibuat dalam pembentangan Belanjawan 2025, seiring harga semasa komoditi itu.

Sehubungan itu, katanya, KPK akan bekerjasama dengan pihak Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi mengolah balik akses cukai levi dalam usaha memastikan setiap duit yang dikutip akan dipulang semula kepada pekebun untuk penanaman semula.

“Dulu kos mengeluarkan minyak sawit kira-kira RM1,800 satu tan, tetapi kini boleh mencecah RM2,800 hingga RM3,200, bergantung kepada saiznya.

Beliau menjawab soalan tambahan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) mengenai WPL dan sama ada pemain industri mendapat manfaat terutama dalam usaha mempercepat proses penanaman semula sawit pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Kadar WPL sebanyak tiga peratus dikenakan terhadap harga minyak sawit melebihi RM3,000 satu tan di Semenanjung, manakala melebihi RM3,500 satu tan di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, KPK bersama Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang memuktamadkan beberapa isu dasar supaya bekalan penuai bagi operasi ladang tidak terjejas.

Katanya, kerajaan melalui Institut Perladangan dan Komoditi (IMPAC) juga bekerjasama dengan Yayasan Pahang Advanced Skills dan pemain industri bagi melatih pekerja tempatan menjadi penuai profesional sebagai penyelesaian jangka pendek dan panjang.

Beliau berkata, seramai 60 pelatih akan mengikuti projek rintis kumpulan pertama sudah memulakan latihan teori dan akan memulakan ‘on-the-job training’ di ladang sawit, Selasa depan.

“Usaha mekanisasi fokus kepada kerja di ladang, selain kerja penuaian, seperti pengutipan buah tandan segar (BTS); kutipan buah relai; mengangkat dan menyusun BTS serta penghantaran, pemunggahan dan pemindahan BTS.

“Entiti seliaan MPOB, iaitu Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP), bertanggungjawab membangunkan solusi mekanisasi. Syarikat sawit sudah mengautomasikan aktiviti seperti pengutipan BTS dan buah sawit relai serta penaburan baja.

“Selain itu, kolaborasi MARCOP dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mampu meningkatkan penggunaan digitalisasi dalam pengurusan ladang,” katanya menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang).

Johari berkata, pengurusan ladang efisien adalah asas dalam penghasilan sawit tinggi dan secara purata, hasil pengeluaran sawit (BTS) industri adalah pada 15.8 tan bagi setiap hektar.

Namun, katanya, ada beberapa syarikat mampu menghasilkan 20 hingga 28 tan perhektar dengan antara faktor menyumbang kepada hasil sawit tinggi adalah penanaman semula mengikut jadual dan penggunaan benih berkualiti.

“Kadar penanaman semula tahunan kekal rendah pada 1.8 peratus antara 2014 hingga 2023. Berdasarkan ‘industry best practice’, penanaman semula sepatutnya berada pada kadar empat hingga lima peratus setiap tahun.

“Bagi meringankan beban pekebun kecil persendirian, kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi membantu golongan ini melaksanakan penanaman semula sawit,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, kerajaan sedang berusaha menjalankan inisiatif bagi memastikan ladang sawit pekebun kecil dapat diuruskan dengan optimum melalui skim konsolidasi baharu.

“Skim konsolidasi ini haruslah bersifat menepati prinsip komersial bagi memastikan inisiatif ini dapat berterusan dalam jangka panjang.

“Dengan adanya konsolidasi sawit, ladang sawit bersaiz kecil dapat disatukan dan diuruskan sebagai ladang estet sederhana atau besar.

“Misalnya, pengurusan pekerja, penanaman semula serta penggunaan benih dan baja berkualiti tinggi dapat dijamin,” katanya.  – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close