Governans

PARLIMEN: KDNK Catat Pertumbuhan Kukuh 4.2 Peratus Suku Pertama 2024 – Kementerian Kewangan

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 4.2 peratus pada suku pertama 2024, disokong permintaan domestik kekal mapan serta prestasi eksport lebih baik biarpun berdepan persekitaran luar mencabar.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam jawapan bertulis di Parlimen berkata, KDNK negara bagi suku pertama 2024 juga berkembang lebih cepat berbanding negara maju dan serantau seperti Singapura (2.7 peratus), Thailand (1.5 peratus), dan United Kingdom (0.2 peratus).

“Prestasi memberangsangkan ini turut dicerminkan indikator ekonomi dan kewangan, antaranya pasaran buruh menunjukkan momentum pertumbuhan positif dengan kadar pengangguran suku pertama 2024 kekal rendah iaitu 3.3 peratus berbanding 3.5 peratus bagi tempoh sama tahun lalu.

“Indeks Pelopor terus merekodkan pertumbuhan positif selama empat bulan berturut-turut dengan peningkatan 2.3 peratus, pada Mac lalu.

Ia bagi menjawab soalan mengenai unjuran terkini kadar pertumbuhan KDNK bagi tahun ini dan 2025 ekoran prestasi KDNK negara yang mencatatkan 4.2 peratus untuk suku pertama 2024.

“Permodalan pasaran saham mencatat paras baharu melebihi RM2 trilion buat pertama kalinya pada 7 Mei lalu, dan hingga 12 Jun 2024 telah mencapai RM2.059 trilion.

“Indeks FBM KLCI pula terus melepasi paras rintangan 1,600 mata dan berada pada paras 1,608.95 mata pada 12 Jun lalu, dengan catatan pertumbuhan sehingga kini pada tahun ini sebanyak 10.61 peratus.

“Ia antara yang terbaik di rantau Asia dan kedua terbaik dalam kalangan negara ASEAN,” katanya.

Berdasarkan indikator itu, MoF berkata, kerajaan yakin KDNK negara akan mencapai pertumbuhan antara empat hingga lima peratus, tahun ini.

Selain itu, laporan Global Economic Prospects oleh diterbitkan Bank Dunia pada 11 Jun lalu, mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia meningkat kepada 4.4 peratus pada 2025 berbanding 4.3 peratus, tahun ini.

Prospek pertumbuhan itu selari unjuran pertumbuhan ekonomi global oleh Bank Dunia yang dijangka meningkat kepada 2.7 peratus pada tahun 2025 berbanding 2.6 peratus, tahun ini. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close