Kerajaan memberi jaminan untuk mengambil tindakan terhadap bekas Peguam Negara, Tommy Thomas, jika terbukti ada kesalahan dikesan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, pasukan petugas khas yang ditubuhkan pada Oktober tahun lalu sedang mengambil tindakan termasuk memanggil pihak yang terbabit.
“Kabinet bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat pendedahan buku bekas Peguam Negara, Tommy Thomas dan pasukan petugas khas sedang mengambil tindakan termasuk memanggil saksi serta semua pihak terbabit.
“Laporan interim akan dibentang bulan depan. Saya memberi janji kepada perwakilan, jika ada kesalahan dikesan, saya akan pasti ambil tindakan terhadap Tommy Thomas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini. – BH ONLINE