MalaysiaPilihan EditorTwo Cents

Rukun Negara Paksi Perpaduan dan Keharmonian Malaysia – LIDAH PENGARANG

Setiap rakyat Malaysia pasti tahu Rukun Negara.

Dari tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, kolej, universiti dan di tempat kerja – Rukun Negara seiring dengan perjalanan hidup rakyat Malaysia sejak 31 Ogos 1970.

Rukun Negara sudah sebati dalam darah daging rakyat Malaysia.

Rukun Negara diwujudkan selepas Peristiwa 13 Mei 1969 yang ketika itu pemerintah melihat perpaduan antara kaum sangat lemah di negara ini.

Tidak menghormati kaum, agama, waima negara telah menjejaskan ketenteraman awam, keselamatan dan kestabilan negara.

Namun hampir 50 tahun Rukun Negara berakar umbi di seluruh pelusuk negara ini, masih juga ada rakyat Malaysia yang tidak sensitif, tidak faham atau buat tidak faham dengan melakukan perkara yang melanggari asas-asas Rukun Negara.

Terkini menghina Jata Negara !

Dulunya ada yang menterbalikkan bendera Jalur Gemilang, menghina agama, mempersoalkan kedudukan institusi Raja serta mempersoalkan hak antara kaum !

Lidah Pengarang sangat hairan apakah yang sebenarnya rakyat Malaysia yang berbuat sedemikian rupa berkehendakkan apa ?

Apakah mereka sudah lupa dengan asas yang dibina dalam Rukun Negara ?

Tujuan utama Rukun Negara dibentuk adalah untuk membentuk perpaduan yang kukuh.

Prinsip-prinsip dalam Rukun Negara jelas merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi memastikan kejayaan dan kestabilan Malaysia.

Melalui Rukun Negara, Malaysia mendukung cita-cita hendak mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya, memelihara satu cara hidup demokratik, iaitu dengan mencipta satu masyarakat yang adil agar kemakmuran negara dapat dinikmati secara adil dan saksama.

Di samping itu ia dapat menjamin satu cara hidup yang harmoni terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak serta membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden dalam rangkaian kehidupan.

Lima prinsip dalam Rukun Negara yang perlu dijiwai oleh setiap rakyat Malaysia iaitu;

  • Kepercayaan kepada Tuhan

  • Kesetiaan kepada Raja dan Negara

  • Keluhuran Perlembagaan

  • Kedaulatan Undang-Undang

  • Kesopanan dan Kesusilaan.

Lidah Pengarang tidak mahu mengulas panjang setiap prinsip itu kerana kita sebagai rakyat Malaysia dah faham bebenor rasanya.

Cuma nak sentuh sedikit yang prinsip kelima Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan yang menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku setiap rakyat.

Kalau kita lihat ianya bertujuan untuk membentuk warga negara yang bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni yang dijalankan.

Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah paling bermakna dan amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi membentuk seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin dan  bermoral tinggi yang akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni.

Tatasusila ini membenci dan mengutuk tingkah laku atau perbuatan yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu golongan.

Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara.

Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.

Ok, panjang lebar rasanya Lidah Pengarah menasihatkan dan jangan sekadar lafaz dan terjerit-jerit ikrar sahaja tetapi faham, hayati dan amalkan wahai RAKYAT MALAYSIA. – BACALAHMALAYSIA.MY

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close