Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meneliti cadangan membenarkan mahasiswa memohon sebagai pengundi pos pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata cadangan itu perlu dilihat daripada beberapa aspek sebelum keputusan dapat dibuat. SPR perlu kenal pasti dahulu jumlah mahasiswa kerana membabitkan jumlah besar.
“SPR akan bermesyuarat pada 9 Februari ini bagi melihat secara terperinci isu ini. Keputusan mengenai undi pos kena diteliti secara mendalam kerana tidak semudah seperti kita jangka.
“Bagi pengundi pos, sebenarnya kita sudah khususkan termasuk kepada rakyat Johor yang kini bekerja di Singapura. Bagi golongan lain, SPR kena bermesyuarat dahulu,” katanya, semalam.
Ahad lalu, media melaporkan kebimbangan jika mahasiswa yang juga pengundi muda, tidak dibenarkan pulang oleh institusi pengajian tinggi berikutan kebimbangan penularan COVID-19.
ebelum ini, media melaporkan seramai 2.576 juta pengundi biasa daripada keseluruhan 2.599 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada Pilihan PRN Johor. Menurut data yang diwartakan SPR pada 17 Januari lalu, jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas, susulan pendaftaran automatik untuk warganegara berusia 18 tahun.
Mengulas mengenai kira-kira 200,000 pengundi Johor yang bekerja di Singapura, beliau berkata, mereka yang mengundi secara pos akan diminta menghantar atau mengepos kertas undi masing-masing terus kepada Pegawai Pengurus (RO) Peti undi kawasan undian masing-masing.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata prosedur operasi standard (SOP) PRN Johor berbeza sedikit daripada PRN Melaka dan Sarawak kerana ancaman COVID-19 varian Omicron.
Katanya, SOP dua PRN sebelum ini berkesan mengekang jangkitan kerana tiada peningkatan penularan direkodkan.
Bagaimanapun, katanya, PRN Johor yang sepatutnya diadakan sebelum 23 Mac ini ada sedikit perbezaan kerana varian Omicron mempunyai kadar penularan jangkitan lebih tinggi.
“SOP PRN Johor hampir selesai dan ia akan dibentang kepada pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan (KKM), sebelum dimuktamadkan dan dimaklum kepada SPR.
“Sebab peningkatan kes jangkitan sudah hampir pasti berlaku kerana ia datang sekali dengan Omicron. Justeru, SOP PRN Johor akan berbeza sedikit,” katanya pada sidang media di Hospital Tunku Azizah di Kuala Lumpr, semalam. – BH ONLINE