Pilihan EditorTurun Naik

MEMBANGUNKAN SOSIO-EKONOMI KOMUNITI MENERUSI KEUSAHAWANAN SOSIAL: PERANAN DAN PELUANG

Oleh Hariyaty Ab Wahid, Rafiduraida Abdul Rahman, Noor Lela Ahmad, Wan Salmuni Wan Mustaffa, Suraini Mohd Rhouse dan Nek Kamal Yeop Yunus

 

Kemunculan lebih ramai usahawan sosial yang menjadi inovator dalam menyelesaikan masalah komuniti adalah amat perlu agar beban tersebut tidak hanya diletakkan di bahu kerajaan dan badan kebajikan masyarakat semata-mata.

Bagi menzahirkan hasrat tersebut, pendidikan dilihat sebagai satu platform yang berupaya menukar harapan tersebut kepada realiti.

Namun, ia tidak semudah yang diungkap sekiranya kesedaran, perancangan, perlaksanaan, pemantauan dan penilaian keberkesanan setiap aktiviti atau pendekatan keusahawanan sosial yang diusahakan oleh usahawan sosial dalam komuniti perlu ada dan dibuat dengan baik.

Oleh kerana, masalah sosial adalah sangat kompleks dan ada ketikanya tidak mampu untuk ditangani secara keseluruhan, menyebabkan ada diantara masalah ini tidak diselesaikan, maka kehadiran lebih ramai usahawan sosial amat diperlukan.

Maka, keusahawan sosial dilihat sebagai pendekatan yang terbaik.

Keusahawanan sosial ialah penggabungan perusahaan perniagaan dengan impak sosial. Para usahawan akan menggunakan kemahiran perniagaan dan pengetahuan mereka untuk mencipta perniagaan yang dapat menyempurnakan matlamat sosial sebagai tambahan kepada perdagangan yang berdaya maju.

Keusahawanan sosial yang diceburi lebih bermotivasikan masyarakat dan operasi yang dilaksana juga adalah bertunjangkan masyarakat.

Dari perspektif Islam, keusahawanan telah terbukti sebagai satu aktiviti yang strategik sejak zaman Rasulullah SAW dan merupakan sumber utama bagi pembangunan sosio-ekonomi ummah.

Islam sebagai satu cara hidup yang syumul, amat menggalakkan umatnya yang berkecimpung dalam keusahawanan agar memiliki ciri dan sifat terpuji dengan tidak semata-mata memikir akan keuntungan kewangan serta material untuk kepentingan peribadi.

Konsep keusahawanan sosial yang lebih mengutamakan kebajikan dan kemaslahatan komuniti berbanding kepentingan peribadi telah terlebih dahulu telah dianjrkan oleh Islam serta boleh diteladani daripada himpunan sirah Rasulllah SAW dan para sahabat Baginda.

Kelebihannya, usahawan sosial bertindak sebagai agen perubahan kepada masyarakatnya.

Seseorang usahawan sosial akan mengambil apa juga peluang dan kesempatan yang terbuka, yang mana tidak disedari oleh orang lain, untuk memperbaiki sistem masyarakat, mengilhamkan pendekatan baru dan juga memikirkan cara penyelesaian baru untuk kesejahteraan masyarakat sekitarnya.

Jika seorang usahawan perniagaan berjaya membuka satu perniagaan baru, seorang usahawan sosial akan memikirkan satu penyelesaian baru kepada sesuatu masalah sosial dan melaksanakannya bagi memperbaiki lagi keadaan masyarakat

Antara peranan penting keusahawanan sosial terhadap masyarakat dan negara ialah keupayaannya menghapuskan fenomena kemiskinan dan kelaparan yang ekstrem.

Selain untuk komuniti, keusahawanan sosial juga mampu menyediakan peluang untuk peningkatan diri individu.

Jika dilihat dari sudut pembinaan modal insan untuk keperluan negara, kualiti yang wujud dalam diri usahawan sosial perlu dibudayakan kepada pelajar.

Ini adalah kerana usahawan sosial dilihat sebagai individu yang mempunyai penyelesaian inovatif kepada masalah sosial yang sedang dihadapi oleh masyarakat.

Mereka juga merupakan individu yang merangsangkan kemajuan ekonomi dengan mencari cara baru atau cara yang lebih baik untuk melaksanakan sesuatu.

Apa yang menarik berkaitan usahawan sosial ialah mereka merupakan pemimpin keusahawanan sosial yang terdiri daripada manusia biasa yang membuat perkara-perkara yang luar biasa.

 

  • Penulis adalah dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close