Malaysia

Penipuan Melalui SMS Kembali Aktif, Rekod Kerugian Lebih RM200,000 Sejak Januari 2024 – POLIS

Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) kini mengesan taktik penipuan melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) yang didapati kembali aktif sejak awal tahun ini.

Setakat ini 18 kes dilaporkan berlaku dengan nilai kerugian RM229,868 sejak 1 Januari hingga 14 April lalu, yang menyasarkan mangsa melalui penghantaran SMS menerusi telefon bimbit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, statistik setakat 17 April itu mendapati mangsa dilaporkan menerima SMS kononnya daripada syarikat telekomunikasi terkenal seperti Maxis, Celcom dan Digi.

“Kandungan SMS yang dihantar menyatakan mangsa mempunyai mata ganjaran yang bakal tamat tempoh dan digesa untuk segera menebus mata ganjaran tersebut melalui pautan yang disertakan.

“Mangsa kemudiannya akan mendapati wang daripada akaun bank mereka berkurangan,” katanya dalam sidang media khas di sini, hari ini.

“Jangan sesekali berkongsi maklumat perbankan serta nombor OTP dengan mana-mana pihak yang tidak dikenali,” katanya.

Dalam perkembangan lain, tular di media sosial berhubung kes pemberian hadiah percuma yang diagihkan dari rumah ke rumah dipercayai adalah merupakan taktik baharu penipuan.

Ramli berkata, berdasarkan kes yang tular itu, dapat dilihat hadiah berupa botol air yang diagihkan mempunyai cetakan QR code yang apabila diimbas kononnya akan membolehkan orang ramai memenangi kupon tunai bernilai RM200.

“Hakikatnya apabila diimbas, mangsa akan diminta untuk memasukkan maklumat perbankan yang kemudiannya akan mengakibatkan mangsa kehilangan wang daripada akaun banknya.

“Diingatkan, ini merupakan satu cubaan penipuan melalui kaedah phishing dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengimbas QR code yang diberikan,” katanya.

Katanya, setakat ini tiada sebarang laporan polis diterima, namun taktik ini harus dihebahkan kepada setiap lapisan masyarakat sebagai informasi dan langkah pencegahan. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close