Peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang perlu dikanunkan menerusi Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) yang merangkumi sistem kawal selia serta perbelanjaan oleh wakil rakyat.
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mencadangkan, satu formula pengagihan CDF yang jelas, telus dan saksama perlu dilaksana menerusi akta itu, dengan mengambil kira jumlah pengundi di setiap kawasan.
Katanya, satu Jawatankuasa CDF, di mana ahlinya terdiri daripada wakil rakyat kerajaan dan pembangkang harus ditubuhkan untuk menyemak imbang pengagihan dan pengurusan CDF.
“Perlu ditekankan bahawa sebuah memorandum persefahaman (MoU), walaupun diperlukan sekarang, tidak memadai untuk jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amalan pemberian peruntukan secara berat sebelah katanya adalah politik lapuk yang perlu ditinggalkan dalam kerangka membentuk amalan politik negara yang lebih matang, berdaya saing dan progresif.
“Penggubalan Akta CDF ini juga boleh dimulakan di peringkat negeri, di mana rundingan di antara pihak kerajaan dan pembangkang dilihat lebih terbuka,” katanya.
Katanya, persetujuan Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan menyalurkan peruntukan kepada pembangkang seperti dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof semalam, satu langkah positif dalam usaha mematangkan demokrasi Malaysia.
“Langkah yang baru diumumkan ini perkara yang sudah lama digesa oleh pelbagai pihak, termasuk organisasi masyarakat sivil. Gesaan ini berpandukan prinsip kesaksamaan untuk semua Ahli Parlimen yang sah dipilih rakyat, dan juga demi mengekalkan kestabilan pentadbiran negara.
“Pelan untuk merangka satu MoU adalah positif, malah satu peluang baik untuk memaktubkan sebuah mekanisme peruntukan yang telus, sama rata dan saksama,” katanya. – BH ONLINE