Pilihan EditorTurun Naik

Perkasa Peranan Penasihat Persatuan Di Universiti

Oleh: Noor Afzan Zakaria

Penasihat persatuan merupakan ‘orang penting’ dalam memastikan sesebuah persatuan pelajar di universiti itu berjaya atau gagal mencapai matlamat penubuhannya.

Mereka ini terdiri daripada golongan yang sangat berminat dengan program-program pembangunan dan sahsiah pelajar.

Kemenjadian pelajar yang seimbang dari segi akademik dan kemahiran insaniah terhasil daripada penglibatan mereka yang aktif dalam berpersatuan.

Insan di sebalik tabir yang membantu proses kemenjadian ini tidak lain dan tidak bukan, ialah penasihat persatuan.

Dewasa ini, peranan penasihat persatuan perlu diperluas dan diperkasakan bukan hanya sekadar menyemak kertas kerja program, malah melangkaui skop dan mesti lebih kreatif misalnya membimbing pelajar untuk menganjurkan program-program yang berimpak tinggi dengan kos yang paling minimum.

Penasihat persatuan juga berperanan untuk menjadi contoh terbaik yang boleh diteladani. Contohnya, berkaitan dengan tanggungjawab pelajar berkomunikasi dalam media sosial juga satu daripada yang perlu dibicarakan. Adab dan akhlak secara tidak langsung terbentuk hasil bimbingan penasihat.

 

Berdepan cabaran pandemik ke endemik

Pengalaman melalui pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu telah memberi kesan kepada penasihat persatuan dan mahasiswa untuk aktif menganjurkan aktiviti.

Dalam konteks ini, pihak universiti terutamanya Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) perlu fokus dan menyediakan strategi untuk menganjurkan program-program pembangunan pelajar yang berimpak tinggi kepada mahasiswa agar dapat membantu menyerlahkan potensi diri mereka.

Kemenjadian mahasiswa dewasa ini perlu dirancang dengan teliti bagi merealisasikan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) iaitu untuk melahirkan graduan yang holistik, seimbang dan berciri keusahawanan.

Program-program yang dianjurkan juga tidak bersifat kelompok sendiri atau ‘silo’, sebaliknya perlu diperluaskan dengan membina kolaborasi luar bersama agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat swasta di dalam mahupun luar negara.

Antara platform yang dilihat berupaya menyerlahkan bakat pelajar dari segi kemahiran kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan, kemahiran menyelesaikan masalah, pemupukan jati diri, pembangunan karektor dan akhlak adalah melalui kegiatan berpersatuan.

Selain itu, penglibatan dalam aktiviti berpersatuan membuka ruang kepada pelajar untuk menjadi lebih matang dan berupaya membuat keputusan selain mendapat nilai tambah dalam bidang pengajian yang diceburi.

 

Mesti berjiwa besar

Penasihat persatuan juga perlu berjiwa besar membawa hala tuju kepimpinan persatuan pelajar yang cemerlang dan menampakkan peranan pelajar dalam aktiviti pembangunan komuniti misalnya seperti program-program yang menyokong kepada 17 Agenda Kelestarian Global atau Sustainable Development Goals (SDGs). Selain itu, penasihat juga perlu membina rapport yang baik dan sentiasa memberi inspirasi kepada pelajar.

Di Universiti Teknologi MARA misalnya, terdapat 364 persatuan atau kelab berdaftar di kampus Shah Alam yang memberi peluang kepada penasihat membantu membimbing pelajar menyerlahkan potensi diri dan bakat yang pelbagai.

Kepelbagaian jenis persatuan bukanlah jurang, tetapi merupakan satu kelebihan kerana setiap persatuan pelajar mempunyai objektif utama iaitu untuk membimbing dan menggilap potensi dan bakat pelajar.

 

Sokongan berterusan

Bahagian Hal Ehwal pelajar juga tidak ketinggalan menyahut cabaran era digitalisasi dengan membuat semakan terdapat proses permohonan dan pelaporan aktiviti persatuan secara digital.

Selain dapat menyuntik semangat ’orang penting’ yang membimbing pembentukan karektor pelajar ini, pihak UiTM juga buat julung kalinya memperkenalkan dua anugerah iaitu Anugerah Khas Inspirasi Kepimpinan HEP dan Anugerah Inspirasi Kecemerlangan HEP.

Tidak ketinggalan, pihak Kementerian Pengajian Tinggi juga mengiktiraf keaktifan mahasiswa dengan memperkenalkan Anugerah Tokoh Siswa sejak 2013 bagi menghargai barisan mahasiswa yang aktif dan holistik.

Bagi memastikan calon-calon pemimpin pelajar terbaik yang mewakili universiti ke anugerah berprestij ini, Bahagian Hal Ehwal Pelajar bersinergi bersama penasihat persatuan untuk merangka strategi memastikan kejayaan menjadi milik universiti.

Sudah pasti, ini bukanlah tugas sehari dua,

 

Suntik kesedaran

Sudah tiba masanya pelajar perlu disedarkan bahawa kehidupan di kampus harus diwarnai dengan menyibukkan diri dan mengambil peluang terlibat dengan pelbagai aktiviti. Kempen kesedaran perlu diperbanyakkan bagi menyedarkan kepentingan dan kelebihan bergiat aktif dalam persatuan kepada pelajar.

Contohnya, pelajar yang aktif berpeluang menjalani kehidupan dengan minda yang sejahtera dan gembira apabila terlibat dengan program yang diminati di samping dapat bertukar-tukar fikiran. Mereka juga boleh menjadi pempengaruh kepada rakan sebaya selain berupaya menjadi ikon terbaik dalam kepimpinan berpersatuan.

Para pelajar juga amat digalakkan untuk menyertai sekurang-kurangnya satu persatuan sepanjang pengajian sebagai peluang menggilap bakat dan mempelajari kemahiran pengurusan organisasi.

 

Mula rancak

Dengan kerancakan penganjuran program pembangunan pelajar di semua universiti seiring dengan fasa peralihan endemik bermula 1 April lalu, diharapkan semua pihak dapat berperanan dalam merealisasikan hasrat ini.

Tuntasnya, selain menuntut ilmu, kemenjadian pelajar perlu dibentuk dan diperkasakan kerana mereka adalah bakal pemimpin masa depan negara.

Peranan penasihat persatuan bukanlah tugas yang mudah. Sudah pasti, kerana minat dan keinginan yang tinggi untuk membimbing pelajar mengatasi segalanya.

Pandemik COVID-19 hampir berlalu, endamik pula didepani dengan tenang, maka marilah bersama menggembleng tenaga merancakkan kegiatan berpersatuan.

Semoga peranan penasihat persatuan pelajar diperkasa, maka kemenjadian pelajar terlaksana. — BERNAMA

  • Penulis merupakan Timbalan Pendaftar, Pusat Kegiatan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UiTM

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close