Perbankan digital semakin memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang jantina dalam simpanan dan keterangkuman kewangan, khususnya bagi wanita yang menggalas pelbagai tanggungjawab.
Ketua Pegawai Eksekutif Boost Bank , Fozia Amanulla, berkata perbankan digital mampu mengatasi halangan tradisional seperti keperluan cawangan fizikal, sekali gus membuka akses lebih luas kepada golongan yang kurang mendapat kemudahan perbankan konvensional.
“Kepercayaan dan kemudahan penggunaan adalah faktor utama dalam penerimaan kewangan. Oleh itu, platform digital kami direka untuk menjadi inklusif dan mesra pengguna, memastikan perkhidmatan kewangan boleh diakses oleh semua, tanpa mengira tahap literasi kewangan.
“Melalui perbankan terbina dalam aplikasi Boost eWallet, pengguna dapat menguruskan kewangan mereka dengan lebih mudah menerusi telefon pintar, sekali gus menggalakkan lebih ramai wanita menggunakan perkhidmatan perbankan digital,” katanya kepada Berita Harian.
Fozia berkata, Boost Bank turut memperkenalkan ciri pembukaan akaun digital dengan hanya RM1, yang bertujuan meningkatkan keterangkuman kewangan dengan memberi peluang kepada rakyat Malaysia yang sebelum ini tidak memiliki akaun bank.
“Sejak dilancarkan, lebih 95 peratus pengguna aktif menggunakan ciri ini, membuktikan keberkesanan alat kewangan digital dalam membantu individu, khususnya wanita, membina tabiat kewangan lebih sihat.
“Automasi simpanan dan antara muka yang mudah membolehkan pengguna menyimpan dengan lebih teratur tanpa perlu melalui proses kompleks seperti perbankan tradisional,” katanya.
Selain itu, ‘Boost Bank Savings Jar’ turut diperkukuhkan melalui kerjasama strategik dengan rakan niaga seperti peruncit dan penyedia telekomunikasi menerusi ciri ‘Grocery Jar’ dan ‘Telco Jar’.
“Ciri ini membolehkan pengguna, terutama wanita yang menguruskan perbelanjaan isi rumah, menyimpan secara lebih efektif serta menikmati kadar deposit lebih tinggi, bagi menggalakkan budaya menabung,” katanya.
Komitmen Memperkasa Wanita
Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia (IWD), Boost Bank menegaskan komitmennya dalam memperkasakan wanita menerusi akses kewangan yang lebih inklusif. Bank digital itu percaya bahawa meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan wanita akan membawa kesan berganda kepada ekonomi negara.
Fozia berkata, bagi memperkukuhkan keterangkuman kewangan, Boost Bank sedang meneroka lebih banyak alat literasi kewangan yang diperibadikan, penambahbaikan ciri simpanan, insentif serta penyelesaian pembiayaan khusus bagi menyokong usahawan wanita dan individu yang ingin membina kebebasan kewangan.
“Boost Bank juga menekankan kepentingan kerjasama dengan organisasi yang memperjuangkan pemerkasaan ekonomi wanita bagi menyediakan lebih banyak peluang pendidikan kewangan, bimbingan serta akses kepada modal.
“Kami percaya bahawa menutup jurang jantina dalam penyertaan kewangan akan membawa kepada kestabilan ekonomi yang lebih kukuh, peningkatan aktiviti keusahawanan serta daya tahan kewangan yang lebih baik, bukan sahaja untuk wanita tetapi juga bagi keluarga dan komuniti secara keseluruhan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menasihatkan wanita yang ingin mula menyimpan agar bermula dengan jumlah kecil, mengekalkan konsistensi serta memanfaatkan perbankan digital bagi memudahkan proses pengurusan kewangan mereka. – BH ONLINE